Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Feri karam di Danau Toba: 180 penumpang masih hilang

Jun 21, 2018 | 05:30 AM



PELABUHAN TIGARAS (Indonesia): Agensi mencari dan menyelamat Indonesia telah menyemak jumlah penumpang feri yang tenggelam di Danau Toba yang hilang kepada 180 orang daripada sekitar 130 yang dianggarkan sebelum ini, kata seorang pegawai agensi itu semalam.



Angka baru itu tiga kali ganda daripada kapasiti feri tersebut.



Kebanyakan penumpang ialah pelancong tempatan dari Sumatera Utara yang merancang bercuti Hari Raya di Danau Toba.



Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan di Medan, Encik Budiawan, berkata 18 mangsa diselamatkan dan dua mayat ditemui pada petang Isnin.



Ketua Badan Pencegahan Bencana Samosir, Encik Mahler Tamba, mengatakan proses pemindahan mangsa dihambat cuaca buruk yang tidak menunjukkan tanda-tanda lega hingga pagi kelmarin.



Akibatnya, pasukan mencari dan menyelamat menghadapi kesulitan menyelamatkan mangsa.



Beliau berkata pasukan itu telah memperluas kawasan pencarian sejauh lima kilometer dari lokasi kapal itu tenggelam.



Pencarian disambung semula semalam termasuk dengan menggunakan penyelam dan dron bawah air bagi memeriksa dasar danau itu.



Seorang mangsa terselamat, Cik Widya, berkata keluarganya maut ketika kapal itu dipukul ombak kuat.



"Ada sekurang-kurangnya lima pasangan dengan dua anak. Saya mahu saja mati bersama keluarga saya," katanya kepada Metro TV sambil menangis.



Menteri Pengangkutan, Encik Budi Karya, berkata sebuah pasukan penyiasat sedang menyiasat punca kemalangan tersebut.



"Kami percaya ada sengkayan (waterspout) yang menyebabkan angin dan ombak kuat yang membuat kapal itu menjadi tidak mantap dan menyebabkan panik," katanya kepada pemberita.



Kapal itu tidak kelihatan dalam video yang dirakam dari sebuah feri lain.



Yang kelihatan hanya apa yang dipercayai kesan minyak.



"Kami telah meminta kenderaan bawah laut kawalan jauh (untuk mencari kapal yang tenggelam itu) dan bantuan darat, laut serta kru udara khas," kata Encik Muhammad Syaugi, ketua agensi mencari dan menyelamat kebangsaan.



Air Danau Toba mengisi kaldera gunung berapi gergasi yang meletus kira-kira 75,000 tahun lalu - antara letusan terbesar di dunia yang menghasilkan sebuah tasik sedalam 450 meter.



Di tengah tasik indah itu, yang seluas keluasan kira-kira 1,145 kilometer persegi, terdapat sebuah pulau yang dilawati pelancong menggunakan feri yang ulang-alik di situ.



Tiada berita mengenai apakah pelancong asing antara mangsa kemalangan itu.



Encik Budi berkata penyiasat akan menyiasat apakah feri itu dilengkapi dengan jaket keselamatan dan apakah ia digunakan.



"Pihak bertanggungjawab harus menghadapi hukuman sesuai dengan undang-undang," katanya.



Kemalangan feri agak lazim di Indonesia, sebuah kepulauan yang luas, terutama semasa cuti Lebaran, yang jatuh minggu lalu, apabila berjuta-juta orang mudik, atau pulang ke kampung, melalui jalan darat, laut dan udara untuk beraya bersama keluarga dan sanak saudara. - Reuters, AFP.




"Ada sekurang-kurangnya lima pasangan dengan dua anak. Saya mahu saja mati bersama keluarga saya."
- Cik Widya seorang mangsa yang terselamat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >