Subuh
5:29
Syuruk
6:51
Zuhur
12:54
Asar
4:17
Maghrib
6:55
Isyak
8:08

Perubahan iklim beri kesan serius di India, Pakistan, Australia

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

GELOMBANG HABA DI ASIA

Perubahan iklim beri kesan serius di India, Pakistan, Australia

Jun 08, 2022 | 05:30 AM

NEW DELHI/SYDNEY: Gelombang haba besar sedang melanda India, Pakistan dan juga Australia dan menjejas kehidupan, bekalan kuasa, pertanian dan juga batu karang Great Barrier Reef.

Antara punca utamanya - perubahan iklim yang disebabkan tindakan manusia.

Satu penemuan kajian baru-baru ini oleh pasukan antarabangsa 29 saintis iklim di bawah kumpulan World Weather Attribution (WWA) mendapati gelombang haba di beberapa bahagian India dan Pakistan tahun ini, yang meragut sekurang-kurangnya 90 nyawa serta mengurangkan hasil pertanian, adalah 30 kali ganda lebih berkemungkinan berlaku disebabkan perubahan iklim yang disebabkan tindakan manusia.

Sebahagian besar India dan Pakistan mengalami gelombang haba awal yang luar biasa dan berpanjangan tahun ini, yang telah diburukkan lagi oleh kekurangan hujan sebelum monsun. Ia bermula seawal Mac, yang merupakan tempoh paling panas sejak India mula menyimpan rekod suhu pada 1901, dan semakin buruk pada April.

Gelombang haba sering berlaku dari April hingga Jun, dengan tahapnya memuncak pada Mei. Namun, suhu tinggi melebihi 45 darjah Celsius telah dicatat di banyak kawasan di India pada April lalu, yang merupakan suhu ketiga terpanas dalam tempoh 122 tahun. Suhu juga meningkat kepada paras rekod di Pakistan pada 14 Mei di bandar Jacobabad - antara tempat terpanas di bumi dengan catatan 51 darjah Celsius.

Di Pakistan, ramai individu dilaporkan terpaksa minum air tercemar kerana kekurangan air yang disebabkan tempoh kemarau berpanjangan.

Ibu kota India, Delhi, juga mengalami kekurangan air dengan sungai Yamuna "hampir kering".

Pakar bimbang gelombang haba melampau akan menjadi lebih kerap dan amat panas, berikutan peningkatan suhu global.

Profesor Krishna AchutaRao, daripada Pusat Sains Atmosfera di Institut Teknologi India, memberitahu sidang media WWA bahawa kenaikan suhu 2 darjah Celsius akan menjadikan kejadian seperti gelombang haba 2022 "boleh berlaku dengan kemungkinan antara dua hingga 20 kali ganda".

"Dan ia juga akan menjadi antara setengah darjah hingga 1.5 darjah lebih panas berbanding apa yang kita lihat pada 2022 ini," tambahnya yang terlibat dalam kajian itu.

Analisis WWA itu menyusuli penerbitan satu laporan lain baru-baru ini oleh perkhidmatan cuaca kebangsaan Britain yang mendapati gelombang haba yang memecah rekod di India dan Pakistan telah menjadi 100 kali lebih berkemungkinan berlaku disebabkan kemelut iklim.

Selain itu, Dr Roxy Mathew Koll, saintis iklim di Institut Meteorologi Tropika India di Pune, memberitahu The Straits Times bahawa selain peningkatan gelombang haba berterusan di India dan Pakistan, kejadian hujan lebat yang menyebabkan banjir di India telah meningkat tiga kali ganda dalam beberapa dekad lalu.

Ini berlaku bersamaan dengan puting beliung di Laut Arab yang juga meningkat lebih 50 peratus.

"Kita sudah melihat kenaikan purata suhu global 1.1 darjah Celsius dan kesannya," kata beliau sambil berkata beliau amat bimbang dengan komitmen global yang tidak mencukupi terhadap pengurangan pelepasan gas rumah hijau untuk mengelak suhu meningkat lebih tinggi.

Pada kadar perkembangan semasa, suhu purata jangka panjang bumi dijangka meningkat sebanyak 2 darjah Celsius menjelang 2060.

"Kadar pemanasan kini begitu pantas sehingga kita perlukan tindakan segera pengurangan pada peringkat global. Pelan tindakan iklim harus diselaraskan bagi masa terdekat yang kita lalui kini. Malangnya, ia tidak begitu," ujar Dr Koll.

Sementara itu, gelombang haba berpanjangan di Australia telah menyebabkan 91 peratus batu karang Great Barrier Reef rosak akibat pelunturan, menurut satu laporan kerajaan negara itu.

Ia kali pertama dalam rekod terumbu itu mengalami pelunturan semasa kitaran cuaca La Nina, apabila suhu biasanya lebih sejuk.

Laporan Reef Snapshot itu menawarkan perincian baru mengenai kerosakan yang disebabkan "pelunturan besar-besaran" keempat ke atas sistem terumbu karang terbesar di dunia yang dialami sejak 2016, yang kali pertama didedahkan pada Mac.

"Perubahan iklim semakin memuncak, dan Great Barrier Reef sudah mendapat kesan daripadanya," laporan itu memberi amaran.

Pihak Berkuasa Marin Great Barrier Reef, yang menerbitkan laporan itu baru-baru ini, menjalankan tinjauan meluas ke atas terumbu yang tersenarai dalam Warisan Dunia antara September 2021 dengan Mac 2022.

Ia mendapati selepas air laut mula panas pada Disember lalu, tiga kawasan utama terumbu mengalami pelunturan - satu fenomena yang berlaku apabila batu karang tertekan dan mengeluarkan alga berwarna terang di dalamnya.

Walaupun batu karang yang mengalami pelunturan masih boleh hidup, dan bahagian terumbu yang terjejas secara sederhana mungkin pulih, "batu karang yang luntur dengan teruk mempunyai kadar kematian lebih tinggi", kata laporan itu.

Pada bulan ini, Jawatankuasa Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memutuskan sama ada mahu menyenaraikan terumbu itu sebagai "dalam bahaya" ataupun tidak.

Apabila PBB sebelumnya mengancam menurunkan penyenaraian Warisan Dunia terumbu itu pada 2015, Australia melancarkan rancangan 'Reef 2050' dan membelanjakan berbilion dolar untuk melindunginya. - ST, AFP.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3