DOHA (Qatar): Ketika perunding antarabangsa membincangkan gencatan senjata di Jaluran Gaza pada 28 October, pegawai dan penganalisis berkata terdapat sedikit jangkaan bahawa Israel dan Hamas akan mencapai persetujuan sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November.
Duta dari Israel, Mesir, Amerika dan Qatar menyertai rundingan gencatan senjata di Doha, ibu negara Qatar. Pihak perantara Amerika juga dijangka mendesak gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah di Lebanon.
Tetapi seorang pegawai kanan Hamas telah menolak cadangan gencatan senjata selama 48 jam di Gaza – idea yang diajukan Mesir pada hujung minggu – yang turut mengesyorkan kumpulan itu membebaskan empat tebusan Israel sebagai pertukaran dengan rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Pegawai itu, Encik Osama Hamdan, berkata pada 27 Oktober bahawa Hamas hanya akan bersetuju dengan pemberhentian permusuhan secara kekal, mematahkan harapan bahawa pembunuhan ke atas ketua kumpulan itu, Encik Yahya Sinwar, oleh Israel baru-baru ini mungkin membawa perubahan pantas dalam rundingannya.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata ketua utusan Israel yang juga ketua perkhidmatan perisikan asing, Encik David Barnea, telah kembali dari Doha selepas bertemu Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William J. Burns, dan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar, Encik Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.
Menurut pejabat Encik Netanyahu, pihak-pihak berkenaan membincangkan “rangka kerja baru dan bersatu” untuk gencatan senjata dan merancang “dalam beberapa hari akan datang” untuk berbincang lebih lanjut untuk memajukan perjanjian.
Encik Burns juga telah meninggalkan Doha dan dijangka berkunjung ke Kahirah, Mesir, untuk rundingan lanjut, ujar seorang sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu.
Empat pegawai yang diberi taklimat mengenai pemikiran dalaman Israel menyatakan bahawa Encik Netanyahu sedang menunggu untuk melihat pengganti Presiden Joe Biden sebelum melakukan usaha diplomatik.
Encik Netanyahu telah berulang kali menegaskan bahawa beliau hanya menyetujui gencatan senjata sementara yang akan membolehkan tentera Israel meneruskan pertempuran di Gaza. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg