Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERGOLAKAN DI SRI LANKA

Gerakan 'perjuangan' rakyat paksa keluarga Rajapaksa berundur

Jul 15, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS dua dekad berkuasa, presiden Sri Lanka, Encik Gotabaya Rajapaksa, akhirnya terpaksa tunduk kepada kehendak rakyat pulau Asia Selatan ini.



Mereka mahukan beliau, dan juga anggota keluarganya yang lain, meletak jawatan dalam pemerintah setelah negara itu mengalami krisis terburuk sejak kemerdekaannya.



Di sebalik gerakan bantahan rakyat yang dikenali secara meluas sebagai Aragalaya, atau 'perjuangan' dalam bahasa Sinhala, wujud sekumpulan aktivis yang tidak kenal penat dalam mengadakan bantahan bersejarah itu.



Sejak awal Jun lalu, beberapa dozen aktivis bermesyuarat secara kerap di khemah tepi pantai di ibu kota Colombo untuk memikirkan cara meningkatkan pergerakan bantahan di Sri Lanka.



Kumpulan itu, termasuk seorang paderi, pakar strategi digital dan penulis drama terkenal, tanpa diduga, kini telah mencapai kejayaan di luar dugaan mereka.



Dalam beberapa minggu selepas itu, ratusan ribu orang turun ke Colombo. Selepas bertempur dengan polis, penunjuk perasaan akhirnya dapat menduduki bangunan utama dan kediaman rasmi pemerintah, memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa dan perdana menterinya untuk berundur.



"Saya masih memproses kejadian ini," kata Encik Chameera Dedduwage, pakar strategi digital di firma pengiklanan yang merupakan antara anggota utama kumpulan yang membantu mengatur tunjuk perasaan menentang pemerintah.



"Ia adalah 50 peratus persiapan dan penyelarasan, 30 peratus kesediaan rakyat dan 20 peratus nasib."



Dalam wawancara bersama mereka, beberapa anggota veteran kumpulan itu menerangkan bagaimana mereka bersetuju dengan kempen pelbagai serampang untuk menyuntik kesegaran ke dalam gerakan 'Aragalaya'.



Pergerakan itu bermula Mac lalu apabila ribuan orang turun ke jalanan untuk menunjukkan kemarahan mereka terhadap potongan elektrik berpanjangan dan harga barang semakin meningkat, dan menyeru agar keluarga Rajapaksa yang telah menguasai politik negara selama 20 tahun lalu agar melepaskan kuasa.



Pada 9 Mei, abang Presiden Rajapaksa, Encik Mahinda - presiden dari 2005-2015 dan pada masa itu memegang jawatan perdana menteri - meletak jawatan.



Pada 9 Jun, adik lelakinya, Encik Basil, pula meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen (AP). Beliau sebelum ini meletak jawatan sebagai menteri kewangan pada awal April.



Kemudian, aktivis kumpulan 'Aragalaya' menyasarkan 9 Julai sebagai hari yang mereka harapkan dapat menggulingkan presiden sendiri.



Satu rancangan diadakan untuk menguar-uarkan usaha mereka secara dalam talian, pertemuan dengan parti politik, kesatuan sekerja dan kumpulan pelajar dan kempen dari rumah ke rumah untuk mendapatkan orang ramai kembali ke jalanan bagi bantahan besar-besaran.



Kekecewaan orang ramai terhadap kekurangan berterusan, yang telah menyebabkan ekonomi terhenti, dan kedegilan presiden tidak mahu berundur, telah membara selama berminggu-minggu.



Menaiki kereta api, bas, lori dan basikal, atau sekadar berjalan kaki, orang ramai berkumpul di Colombo pada 9 Julai, melepasi adangan pasukan keselamatan yang melindungi bangunan pemerintah.



Mereka dapat memasuki ke dalam kediaman rasmi presiden, sebelum menyerbu pejabat presiden dan memasuki kediaman rasmi perdana menteri yang sejauh 2.5 kilometer.



Presiden Rajapaksa dan Perdana Menteri, Encik Ranil Wickremesinghe, telah dikeluarkan dari kediaman masing-masing, dan dalam beberapa jam, mereka secara berasingan mengumumkan akan meletak jawatan untuk membolehkan pemerintah sementara merangkumi semua parti mengambil alih.



Encik Rajapaksa, yang pernah menjadi wira perang yang dihormati dan digeruni, menjadi presiden Sri Lanka pertama meletak jawatan.



"Saya fikir ia adalah perhimpunan yang tidak pernah berlaku sebelumnya di negara ini," kata Cik Ruwanthie de Chickera, seorang penulis drama yang merupakan antara anggota utama kumpulan Aragalaya, kepada Reuters.



SEMUANYA BERSATU



Sri Lanka mempunyai kira-kira lima juta isi rumah dengan lapan juta akaun Facebook aktif, menjadikan jangkauan dalam talian sebagai cara amat berkesan untuk mendekati penunjuk perasaan, kata Encik Dedduwage, pakar strategi digital.



"Ini bermakna pada dasarnya melalui Facebook, kita boleh mencapai setiap sudut negara tanpa sebarang kos," katanya.



Pada awal Julai, salah seorang mereka yang menerima mesej media sosial kumpulan Aragalaya ialah Encik Sathya Charith Amaratunge, seorang profesional pemasaran yang tinggal di Moratuwa, kira-kira 20 kilometer dari Colombo, dan pernah mengambil bahagian dalam bantahan antipemerintah sebelumnya.



Lelaki berusia 35 tahun itu mengambil poster yang diterimanya melalui WhatsApp pada 2 Julai yang berbunyi "Rakyat ke Colombo, 9 Julai" dalam bahasa Sinhala, dan memuat naiknya di laman Facebook peribadinya.



Anggota Aragalaya lain menghubungi parti politik pembangkang, kesatuan sekerja dan kesatuan pelajar, termasuk Persekutuan Pelajar Silang Universiti (IUSF) yang berpengaruh, untuk meningkatkan sokongan.



Lewat 8 Julai, polis mengisytiharkan perintah berkurung di beberapa daerah sekitar Colombo, yang dikatakan aktivis bertujuan menghalang bantahan yang dirancang.



Beberapa anggota utama Aragalaya segera berpindah ke rumah selamat, bimbang ditangkap.



Encik Jeevanth Peiris, seorang paderi Katolik yang merupakan antara anggota utama kumpulan itu, bimbang hanya beberapa ribu orang akan hadir keesokan harinya ekoran adangan polis itu.



Kekurangan bahan tenaga telah membataskan sistem pengangkutan selama berminggu-minggu.



"Secara jujur kami menjangka hanya 10,000 orang dengan semua sekatan ini, semua ugutan ini," katanya kepada Reuters.



TIDAK MAHU MENGALAH



Pada awal 9 Julai, Encik Amaratunge mula berjalan kaki dari Moratuwa bersama kira-kira 2,000 rakan penunjuk perasaan, kira-kira saiz kumpulan yang beliau jangkakan selepas seminggu berkongsi mesej di Facebook dan WhatsApp.



Hanya apabila beliau meninggalkan bandarnya, barulah beliau sedar betapa ramai orang mahu pergi ke Colombo. Mengikut anggarannya, puluhan ribu menyertai perarakannya, dan mereka sampai ke kawasan pusat Colombo.



Menurut seorang pegawai polis yang enggan namanya disiarkan, bilangan orang ramai di situ meningkat kepada sekurang-kurangnya 200,000 orang.



Pihak penganjur mengira secara kasar bahawa mereka memerlukan kira-kira 10,000 orang untuk mengatasi kakitangan yang mengawal setiap satu daripada empat pintu masuk ke rumah presiden, kata Encik Dedduwage.



Pada awal petang, selepas mengatasi sekatan polis dan meriam air, penunjuk perasaan merobohkan pagar tinggi yang mengawal rumah presiden dan mengatasi pasukan keselamatan yang mengawal.



Menjelang malam, kediaman rasmi Encik Rajapaksa dan Encik Wickremesinghe akhirnya diduduki penunjuk perasaan.



Encik Rajapaksa kemudian melarikan diri ke luar negara, sekali gus mengakhiri penguasaan keluarga Rajapaksa di Sri Lanka.




URUTAN PERISTIWA



KRISIS kewangan yang mendalam telah menyebabkan Sri Lanka bergelut untuk membayar import makanan, ubat-ubatan dan bahan tenaga sehingga mendorong ribuan penunjuk perasaan ke jalan raya.



Berikut adalah beberapa perkembangan utama dalam krisis negara pulau itu.



  • 31 Mac 2022: Penunjuk perasaan berarak ke kediaman peribadi Presiden Gotabaya Rajapaksa untuk membantah keadaan ekonomi yang semakin teruk.

  • 3 April: Encik Rajapaksa membubarkan Kabinet, yang termasuk adik lelakinya, Encik Basil Rajapaksa, sebagai menteri kewangan, tetapi abangnya, Encik Mahinda Rajapaksa, terus memegang jawatan perdana menteri.

  • 9 April: Bantahan meningkat dengan penunjuk perasaan duduk di luar pejabat Encik Gotabaya Rajapaksa dengan matlamat mendesak beliau meletak jawatan sebagai presiden dan membuka jalan kepada pembaharuan politik.

  • 9 Mei: Berikutan pergaduhan meluas antara penunjuk perasaan dengan penyokong pemerintah, Encik Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri. Keganasan di seluruh negara telah menyebabkan sembilan maut dan kira-kira 300 cedera.

  • 9 Julai: Presiden Gotabaya Rajapaksa memberitahu Speaker Parlimen bahawa beliau merancang untuk berundur pada 13 Julai, selepas penunjuk perasaan menyerbu masuk ke kediaman rasmi presiden. Perdana Menteri, Encik Ranil Wickremesinghe, berkata beliau juga bersedia meletak jawatan.

  • 13 Julai: Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dari negara itu, menurut dua sumber, dan tiba di Maldives bersama isteri dan dua pengawal peribadinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >