MENTERI Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, akan melakukan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam minggu ini.

Menurut satu kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), semasa lawatan itu, Cik Fu akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pembangunan Brunei, Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Juanda Haji Abdul Rashid, dan Menteri Sumber Utama dan Pelancongan, Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf Haji Metussin, untuk membincangkan cara mengukuhkan kerjasama dua hala.

Ini dari segi pembangunan agrikultur makanan, perlindungan alam sekitar, pengurusan sumber air, dan perubahan iklim.

Selain itu, Cik Fu juga akan bertemu dengan pegawai daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam serta alumni Kepimpinan Program Pertukaran Belia Singapura-Brunei.

Semasa lawatan tersebut, MSE berkata Cik Fu juga akan melawat industri agrikultur makanan di Brunei, termasuk Golden Chick Livestock Farm Sdn Bhd yang mengeluarkan telur kulit ayam, dan Barramundi Asia (B) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Barramundi Group Limited di Singapura yang menghasilkan ikan.

Sepanjang lawatannya hari ini hingga 15 September, Cik Fu akan diiringi pegawai daripada MSE dan juga Agensi Makanan Singapura (SFA).

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti