KARANGASEM (Bali): Beribu-ribu orang yang tinggal di kawasan berdekatan dengan gunung berapi Gunung Agung melarikan diri ke tempat yang lebih selamat setelah gunung tersebut meletus mengeluarkan abu dan kepulan asap semalam.
Mereka yang melarikan diri adalah antara mereka yang telah berpindah pada September lalu dan kembali semula ke kampung masing-masing setelah ancaman gunung berapi meletus berkurangan.
Dianggarkan kira-kira 140,000 orang meninggalkan kawasan itu sebelum ini dan penduduk kampung ditempatkan di pusat perlindungan sementara termasuk dewan bandaraya dan gimnasium sekolah serta khemah di perkampungan sekitar gunung berapi itu. Pihak berkuasa menjangka angka itu bertambah.
Seramai 30,000 orang dilaporkan telah berpindah ke 278 tempat perlindungan, kata pegawai.
Kira-kira 62,000 penduduk tinggal dalam zon bahaya sebelum berpindah, namun penduduk di luar kawasan itu turut mengambil langkah sama. - Agensi berita.