SHAH ALAM: Seramai 57 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19, dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan, bermula bulan ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh gantung tugas itu.
Jika guru terbabit masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin berkenaan, katanya, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat berpandu ketetapan dikeluarkan pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.
"Seramai 57 guru KAFA di negeri ini mula dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan sejak awal bulan ini hingga April depan.
"Dalam tempoh ini (gantung tugas), mereka boleh melengkapkan pengambilan vaksin masing-masing dan jika masih degil, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan," katanya.
Pada September tahun lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan kecewa apabila hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri ini menghadiri Program Vaksinasi Khas Covid-19 Frontliner JAIS.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 yang hadir itu menolak untuk divaksin.
Justeru, baginda bertitah, nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin akan diteliti dan satu ketetapan berhubung tindakan akan diambil terhadap mereka. - BH Online