Guru sekolah rendah antara 9 suspek ISIS yang ditangkap di M'sia

KUALA LUMPUR: Sembilan suspek militan ISIS telah ditangkap dalam satu operasi di lima wilayah Malaysia, manakala satu rancangan untuk melancarkan serangan bom di Balai Polis Tapah di Perak dipatahkan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataannya hari ini, Jumaat, berkata antara mereka yang ditangkap itu termasuk seorang guru sekolah rendah, teknisyen Puspakom, pemilik kedai haiwan dan dua pengawal keselamatan.

Tan Sri Khalid berkata, suspek-suspek itu ditahan dalam beberapa operasi di Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor antara 15 Mac dengan 21 Mac lalu.

Menurutnya, teknisyen Puspakon yang ditangkap di Klang pada 15 Mac lalu dipercayai anggota sel 'Gagak Hitam', yang melakukan serangan ke atas kelab malam Movida tahun lalu. 

Beliau berkata, guru terbabit berusia 37 tahun pula ditangkap di Ipoh pada 16 Mac lalu.

"Guru tersebut mengaku menyebar ajaran ekstremis Salafi Jihadi menerusi Facebook untuk merekrut militant bagi IS," kata beliau. - The Star/Asia News Network