JALURAN GAZA: Angka korban Palestin akibat sengketa antara Israel dan Hamas di Gaza telah mencecah 1,980 dan lagi 10,181 cedera menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin Encik Azhraf al-Qidra kelmarin.
Puluhan mangsa telah diletakkan dalam senarai kematian biarpun gencatan senjata antara Israel dan Hamas sedang berlangsung.
Menurut Encik Al-Qidra ramai mangsa berada dalam keadaan kritikal dan tidak dijangka pulih dari kecederaan mereka.
Bagi pihak Israel pula 67 orang, kebanyakannya anggota tentera telah terkorban.
Sementara itu, sedang gencatan senjata antara Israel dan Hamas memasuki hari ketiga, terdapat usul perdamaian baru yang didedahkan dari perbincangan yang sedang berjalan di Kahirah, Mesir.
Akhbar Mesir, al-Shorouk melaporkan tentang saranan 11- perkara oleh Mesir yang merangkumi pembukaan semula sempadan, penyelarasan dengan Penguasa Palestin di Tebing Barat untuk membina semula Gaza, perluasan zon menangkap ikan dan komitmen dari Palestin untuk menghentikan pembinaan terowong sulit ke Israel.
Gencatan senjata yang sedang berlangsung memberi peluang pihak-pihak yang bertelagah dan Mesir sebagai orang tengah untuk mencapai penjanjian damai yang lebih kekal bagi pertikaian yang telah mencetus tiga konflik utama sejak 2008.
Wakil Hamas telah bertemu pemimpin kumpulan militannya di Qatar untuk membincangkan saranan Mesir itu dan kumpulan itu kelihatan bersedia menerimanya. - Agensi.