Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

AS hantar tentera bawa rakyat keluar Afghanistan segera

Taleban dakwa jaya tawan bandar Kandahar susuli pertempuran sengit
Aug 14, 2021 | 05:30 AM



KABUL: Amerika Syarikat akan menghantar pasukan tentera untuk membawa rakyatnya keluar dari Afghanistan dengan segera, tatkala Taleban mendakwa telah menawan bandar Kandahar.



Pengumuman Amerika itu dibuat beberapa jam sebelum jurucakap Taleban dalam kenyataan menerusi Twitter mendakwa mereka berjaya menawan Kandahar selepas tercetus pertempuran sengit selama beberapa hari di bandar 'kelahiran' gerakan berkenaan.



"Kandahar sudah ditawan sepenuhnya," ciap seorang jurucakap Taleban dalam satu akaun diperakui sebagai rasmi, semalam.



Dakwaan berkenaan turut diakui seorang penduduk yang memberitahu agensi berita AFP bahawa pasukan askar pemerintah dilihat berundur secara besar-besaran ke sebuah kemudahan tentera di luar bandar selatan itu.



Pihak pemerintah dilaporkan kini hilang kuasa ke atas sebahagian besar wilayah di negara itu, susulan serangan selama lapan hari oleh Taleban.



Washington serta London mengambil tindakan segera dengan memindahkan kakitangan kedutaan dan warga mereka yang lain untuk keluar dari ibu kota Afghanistan.



"Kami mengurangkan lagi keberadaan warga kami di Kabul susulan keadaan keselamatan kini," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ned Price, kepada wartawan.



Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa kedutaan negara itu akan terus dibuka.



"Ini bukan pengabaian. Ini bukan pemindahan. Ini bukan tindakan keluar secara menyeluruh," katanya.



Menurut Pentagon, seramai 3,000 tentera Amerika dijadualkan dihantar ke Kabul dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang, sambil memaklumkan bahawa ia bukan untuk melancarkan serangan terhadap Taleban.



Encik Price menambah, Amerika juga akan mula menghantar penerbangan harian untuk memindahkan jurubahasa Afghanistan dan pihak lain yang telah membantu rakyat Amerika serta bimbang akan ancaman terhadap nyawa mereka susulan serangan Taleban.



Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK), Encik Ben Wallace, pula berkata, London akan menghantar 600 tentera untuk memindahkan warganegaranya, selain "menyokong pemindahan bekas kakitangan Afghanistan yang pernah menggadaikan nyawa berkhidmat bersama mereka".



Sementara itu, sumber keselamatan Afghanistan memberitahu AFP, semalam, bahawa Taleban juga telah menawan bandar utama di selatan, Lashkar Gah.



Taleban menawan bandar strategik, Ghazni kelmarin, yang terletak hanya 150 kilometer dari Kabul, sekali gus memperkukuh lagi kedudukan pemberontak itu di Afghanistan.



Kehilangan Ghazni akan memberi lebih banyak tekanan terhadap tentera udara Afghanistan yang kini berdepan kesukaran selepas angkatan darat terputus hubungan.



Pertempuran juga berlaku di Kandahar serta kawasan penyokong Taleban di selatan serta Herat di barat.



Pada Rabu, Taleban menawan bandar Fayzabad, berhampiran Tajikistan.



Setakat ini Taleban sudah menakluki 10 ibu negara wilayah di serata Afghanistan dalam masa hanya seminggu merangkumi bandar terbesar di utara termasuk wilayah tradisi anti Taliban, Mazar-i-Sharif.



Kementerian Dalam Negeri mengesahkan kehilangan bandar itu, yang terletak di sepanjang lebuh raya utama Kabul-Kandahar dan berperanan sebagai pintu masuk antara ibu kota dan kubu kuat militan di selatan.



"Musuh sudah menguasainya," kata jurucakap kementerian, Encik Mirwais Stanikzai, dalam satu mesej kepada media, selain memaklumkan pertempuran dan pertahanan masih berterusan.



Selepas menguasai hampir 200 daerah luar bandar bulan lalu ketika pengunduran pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Taleban melancarkan serangan ke bandar-bandar besar, menimbulkan panik dan kegelisahan dalam kalangan orang awam.



Konflik semakin memuncak sejak Mei lalu, apabila gabungan tentera diketuai Amerika memulakan pengunduran peringkat akhir pasukannya yang dijangka selesai hujung bulan ini selepas pendudukan selama 20 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >