TENGKARAH harga ayam dan suara kritikan lantang rakyat yang memaksa kerajaan membuat pusingan U, mewarnai politik Malaysia minggu lalu.
Ia bermula dengan keputusan mengejut kerajaan menarik balik subsidi dan harga terkawal penjualan ayam, telur dan minyak masak.
Harga juga akan diapungkan mengikut kuasa pasaran mulai 1 Julai.
Ini bermakna peniaga bebas menetapkan harga mengikut permintaan semasa.
Alasan yang diberikan ialah walaupun harga akan meningkat, ia dapat memastikan bekalan dan harga pasaran lebih mantap dalam jangka masa panjang.
Pada masa yang sama kerajaan memberi jaminan keluarga berpendapatan rendah dalam kategori bawah 40 peratus (B40) akan dibantu dengan bantuan wang tunai bersasar.
Bagaimanapun, Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyuarakan kebimbangan langkah itu akan mengakibatkan harga semua bahan makanan meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus.
Apatah lagi kerana permintaan akan memuncak menjelang Hari Raya Korban tidak lama lagi.
Harga ayam segar dijangka naik RM$15 ($4.70) sekilo berbanding RM$8.90 harga terkawal sekarang ini.
"Saya kurang pasti mengapa kerajaan mengambil langkah tergesa-gesa ini dalam keadaan rakyat sedang dibebani kos sara hidup yang tinggi.
"Pada prinsipnya saya setuju subsidi kerajaan harus dikurangkan pada jangka masa panjang tetapi langkah ini harus dibuat secara beransur-ansur dengan kajian terperinci kerana ia menjejas teruk kehidupan golongan berpendapatan rendah,' kata Encik Ahmad Sharifuddin Shamsuddin, pensyarah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia.
Menurut beliau walaupun kerajaan telah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan tetapi ia sukar dilakukan.
"Realitinya ialah agensi penguat kuasa pada masa ini pun tidak mampu mengendalikan keadaan walaupun ada kawalan harga.
"Saya tidak dapat bayangkan apabila harga diapungkan dan peniaga bebas menetapkan harga mereka sendiri tanpa kawalan," kata Encik Ahmad Sharifuddin
Satu tinjauan rambang kami menunjukkan orang ramai sudah mula membuat pembelian panik sejak seminggu lalu.
Ramai bimbang harga akan semakin meningkat di luar kawalan mulai Julai.
Malah ramai peniaga tidak lagi mematuhi harga terkawal penjualan ayam walaupun ia masih berkuat kuasa hingga 30 Jun.
Dari sudut politik, menaikkan harga makanan asas sehingga mencetuskan kemarahan rakyat pada waktu kos sara hidup dan inflasi melanda negara adalah langkah kurang bijak.
Apatah lagi dalam suasana kepimpinan politik sekarang yang dikatakan menghadapi desakan membubarkan Parlimen dan segera mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).
"Saya sendiri kurang mengerti maksud sebenar dan agenda politik di sebalik langkah kurang bijak itu," kata seorang sahabat yang rapat dengan kepimpinan politik Umno.
"Mungkin menteri yang membuat pengumuman awal itu tidak melakukan pertimbangan teliti sebelum menasihati perdana menteri," ujarnya lagi.
Hanya empat hari kemudian kerajaan menarik balik keputusan yang mencetuskan ledakan serangan pihak pembangkang dan kritikan panas di media sosial
"Apa yang kita buat adalah untuk kebaikan rakyat. Ini bukan U turn. Kita tidak kata U-turn.
"Kita kata waktu itu tiada (harga siling) jadi pengapungan harga ayam, tetapi setelah mendengar pandangan rakyat iaitu Keluarga Malaysia, kita ikut," jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri ketika menjawab dakwaan kerajaan membuat pusingan U.
Rasa peka dengan rintihan suara hati rakyat dan segera merubah pendirian untuk meredakan keadaan adalah salah satu lagi isyarat jelas PRU15 bakal diumumkan dalam masa terdekat.
Minggu lalu, kerajaan juga menawarkan tambang percuma untuk penumpang kereta api sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama sebulan sehingga pertengahan bulan Julai.
Subsidi yang menelan belanja RM15 juta bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berikutan harga minyak petrol yang tinggi sejak beberapa bulan lalu.
►Penulis mantan wartawan 'Berita Harian' dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.
"Realitinya ialah agensi penguat kuasa pada masa ini pun tidak mampu mengendalikan keadaan walaupun ada kawalan harga.
Saya tidak dapat bayangkan apabila harga diapungkan dan peniaga bebas menetapkan harga mereka sendiri tanpa kawalan."
- Encik Ahmad Sharifuddin Shamsuddin, pensyarah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia.