HARGA minyak mentah terus merosot buat minggu ketiga berturut-turut berikutan kebimbangan risiko kemelesetan ekonomi, pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan permintaan dari China.
Minyak mentah Brent North Sea berkurangan kepada AS$91.90 ($129) setong dan penanda aras Amerika, West Texas Intermediate (WTI) susut kepada AS$85.49 ($120) semalam.
Permintaan juga terjejas berikutan pendirian tegar Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika Syarikat yang mahu membendung inflasi, risiko kemelesetan ekonomi di Eropah menyusuli krisis tenaga yang teruk, serta kesulitan China dalam memulihkan semula ekonominya.
Di Asia, China mungkin membenarkan lebih banyak eksport bahan api, mencerminkan penggunaan domestik yang lemah bagi pengimport utama di dunia.
Harga minyak mentah Brent akan mengalami kemerosotan pertama dalam suku tahunan iaitu yang pertama dalam tempoh dua tahun, selepas mengembalikan kenaikan sebelum ini berikutan tindakan Russia menyerang Ukraine.
Harga minyak juga merosot sejajar dengan kemerosotan pasaran di samping kemerosotan bahan komoditi termasuk tembaga sedang pelabur menyusun semula strategi mengenai prospek ekonomi dunia.
Di Amerika, sebilangan besar syarikat terkemuka memberi amaran mengenai risiko minggu ini.
"Sentimen dalam pasaran minyak sebahagian besarnya kekal negatif, dengan kebimbangan mengenai permintaan China," kata Encik Warren Patterson, ketua strategi komoditi di ING Groep NV di Singapura.
"Kekuatan dolar Amerika, ditambah dengan jangkaan Fed yang lebih tegar, tidak akan membantu komoditi seperti minyak."
Harga minyak juga menghadapi tekanan daripada dolar Amerika yang kukuh.
Kenaikan dolar Amerika yang menyebabkan mata wang yuan susut ke paras terendah sejak 2020 - menjadikan komoditi lebih mahal untuk pembeli di luar Amerika.
Dengan harga menurun, beberapa bank telah memberi amaran mengenai prospek di masa hadapan.
Standard Chartered Plc berkata pasaran minyak sejagat telah berubah menjadi "lebihan besar" pada suku ini.
Morgan Stanley dan UBS Group AG pula mengurangkan ramalan harga minyak berikutan kebimbangan mengenai kemelesetan di ekonomi-ekonomi utama dunia. - Agensi berita.