Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

WAWANCARA BERSAMA HAWAZI DAIPI

Hawazi: Pelantikan isyarat S'pura serius dekati, bantu Palestin

Mantan Setiausaha Parlimen Kanan, Encik Hawazi Daipi, dilantik Wakil Singapura bukan Pemastautin ke Palestin November lalu. Baru-baru ini, beliau mengadakan lawatan pertama ke Tebing Barat sebagai wakil tersebut. Ikuti wawancara NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) bersamanya mengenai matlamat lawatan tersebut, cabaran tugas baru tersebut dan harapannya bagi rantau itu.
Feb 01, 2017 | 05:30 AM



WAKIL Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi, berkata pelantikannya itu menunjukkan bahawa pemerintah Singapura serius mahu mendekati Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA).



Encik Hawazi telah mengadakan lawatan kerja pertamanya menyandang peranan itu ke Palestin baru-baru ini - untuk membincangkan cara meningkatkan bantuan teknikal Singapura kepada rakyat Palestin.



Lawatan sekitar seminggu itu disambut baik oleh menteri dan pegawai PNA, kata Encik Hawazi dalam wawancara menerusi e-mel dengan Berita Harian .



"Amat baik sekali saya telah berpeluang mempelajari perkembangan terkini mengenai pembangunan di Wilayah Palestin, bukan sahaja dari segi Proses Keamanan Timur Tengah, bahkan keadaan politik dan sosioekonomi di sana," ujar Encik Hawazi.



Mantan Setiausaha Parlimen Kanan yang bersara daripada dunia politik pada 2015 itu telah dilantik menjadi wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin dan Pesuruhjaya Tinggi bukan Pemastautin Singapura ke Ghana.



Dalam e-melnya, Encik Hawazi berkata Singapura telah menerima lebih banyak permintaan daripada pegawai PNA untuk mengadakan lawatan belajar atau mengikuti kursus di Singapura.



Ini setelah Singapura meningkatkan Pakej Bantuan Teknikal Tambahan (Etap) daripada $5 juta kepada $10 juta, yang diumum Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Ramallah April lalu.



"Kami mengalu-alukan minat yang berkembang ini daripada pihak Palestin, tetapi kami juga ingin memastikan dana Etap digunakan secara berkesan dan bertanggungjawab.



"Ini bermakna kami perlu memastikan saranan bagi lawatan belajar atau kursus yang disesuaikan kepada mereka adalah bermanfaat bagi keperluan rakyat Palestin, dan dalam bidang kepakaran dan relevan kepada pengalaman Singapura agar kami boleh menghulurkan bantuan yang bermakna," ujar Encik Hawazi.



Tambahnya, pelbagai kementerian dan kumpulan di PNA telah mendekati Singapura untuk menggunakan Etap dan Singapura perlu menangani jangkaan dalam hal itu.



"Namun, ini masalah yang 'baik'. Ia menunjukkan jenama kukuh Singapura dalam kalangan rakyat Palestin," ujar Encik Hawazi.



Menteri dan pegawai yang telah mengunjungi Singapura telah berkongsi dengan beliau tanggapan positif mereka terhadap negara ini.



Malah, presiden pertama PNA Yasser Arafat telah berkata sebelum ini bahawa wilayah itu perlu mengikuti model pembangunan Singapura.



Kata Encik Hawazi, satu cabaran yang dihadapi adalah mengenal pasti beberapa bidang kritikal PNA yang boleh dibantu Singapura.



Beliau turut menekankan pendirian Singapura ingin melihat Israel dan Palestin mencapai huraian dua negara yang dirundingkan, dengan kedua-dua pihak dapat wujud secara aman. Namun, beliau akur proses keamanan di rantau itu yang amat rumit dan berlarutan.



Sehingga huraian itu dapat dicapai, Singapura akan terus menyokong rakyat Palestin dalam usaha membina keupayaan, termasuk dalam bidang pentadbiran awam dan sistem pendidikan vokasional.



Program sedemikian akan menyiapkan Palestin apabila mereka mencapai taraf kenegaraan suatu hari nanti, kata Encik Hawazi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >