SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hospital privet M'sia diarah tambah katil wad, ICU

Hospital privet M'sia diarah tambah katil wad, ICU

May 22, 2021 | 5:30 AM

Hospital privet M'sia diarah tambah katil wad, ICU

e25acdcc-67d5-46db-8cbd-b659da2c38c6
-

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan arahan semalam bagi hospital privet menambah katil mereka di wad dan unit rawatan intensif (ICU) untuk merawat peningkatan bilangan pesakit Covid-19 yang telah membanjiri hospital pemerintah.

"Semua hospital privet yang merawat pesakit Covid-19 mesti meningkatkan jumlah katil untuk merawat pesakit-pesakit ini.

"Ini termasuk lebih banyak katil di wad dan ICU.

"Jumlah maksimum katil yang patut disediakan bagi pesakit Covid-19 adalah berdasarkan kapasiti wad dan ICU.

"Peruntukan tempat tidur mestilah sesuai dengan kemampuan hospital privet dan tidak boleh mempengaruhi kualiti penjagaan kesihatan yang diberikan kepada pesakit," kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah dalam surat bertarikh 20 Mei kepada rumah sakit privet.

Surat tersebut dipos di akaun Twitter Seksyen Kawalan Amalan Perubatan Privet Kementerian Kesihatan semalam.

Surat itu menekankan bahawa lebih 70 peratus katil ICU di hospital awam di seluruh negara telah habis digunakan.

Keadaan lebih gawat di wilayah tengah di mana katil ICU sudah digunakan sepenuhnya.

Katil di wad awam juga sudah 70 peratus hingga 90 peratus digunakan.

Terdapat sebanyak 1,388 katil ICU di 78 hospital di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, 850 katil, atau 61 peratus, telah diketepikan untuk merawat pesakit Covid-19, kata Tan Sri Noor Hisham.

Kelmarin, Malaysia melaporkan 6,806 kes baru koronavirus, peningkatan jangkitan harian terbesar.

Seramai 59 individu juga meninggal dunia pada Khamis - bilangan kematian sehari terbesar sejak pandemik Covid-19 bermula.

Semalam, terdapat 6,493 kes, hari ketiga berturut-turut bilangan kes melebihi 6,000 kes sehari.

Peningkatan kes Covid-19 secara tiba-tiba di Terengganu dan Perak telah memaksa kerajaan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan (MCO) 14 hari di puluhan daerah di sana.

Langkah ketat yang diumumkan pada Khamis lalu akan bermula hari ini.

Majlis Keselamatan Nasional (NSC), yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bersidang pada Jumaat dan membincangkan sama ada akan melakukan penutupan penuh di seluruh negara - sama dengan yang dikenakan antara bulan Mac dan Mei tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dinilai dan diputuskan oleh mesyuarat Covid-19 NSC di Putrajaya.

"MCO berskala penuh adalah antara langkah yang perlu dipertimbangkan oleh NSC dan ini akan dibincangkan sebelum keputusan dibuat.

"Semua menteri besar dan ketua menteri juga akan hadir pada mesyuarat pada 3 petang itu," kata beliau selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar negeri Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim semalam.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin turut mengadakan pertemuan deng an pemimpin industri, dalam usaha bertukar pandangan dan idea membincangkan keseimbangan antara kawalan Covid-19 dan impak ekonomi. Pertemuan Perdana Menteri dengan wakil industri yang diadakan secara maya itu, turut dihadiri Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Datuk Seri Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pertemuan itu adalah yang kedua antara Muhyiddin dengan wakil industri dalam tempoh dua bulan.

Jelasnya, kekerapan pertemuan itu menunjukkan betapa kerajaan meletakkan kepentingan terhadap peranan utama pihak industri bagi memastikan ekonomi kekal kukuh dalam tempoh sukar ketika ini.

"MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) sentiasa berada di hadapan dalam aspek ekonomi dan mendengar keluhan pihak industri.

"Peranan pemain industri adalah amat penting bagi memastikan kita menang dalam peperangan ini menggunakan kaedah yang mampan," kata Datuk Seri Mohamed Azmin menerusi Twitter. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg