BEIRUT: Pakar perubatan Lebanon sibuk merawat sekumpulan mangsa yang cedera di tempat letak kereta hospital, manakala di kubu kuat selatan Beirut pula, Hezbollah bergegas memberikan bekalan darah selepas alat kelui anggota mereka meletup dalam kejadian pada 17 September.
Letupan serentak peranti itu melanda beberapa lokasi di beberapa kubu Hezbollah di serata Lebanon, dengan kementerian kesihatan melaporkan sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dan lagi hampir 3,000 yang lain cedera.
Video dari hospital dan dikongsi di media sosial menunjukkan individu yang mengalami kecederaan pada muka, kehilangan jari dan luka berdarah di pinggul tempat alat kelui itu mungkin disemat.
Kumpulan yang disokong Iran itu menyalahkan Israel selepas hampir setahun berbalas tembakan merentasi sempadan dalam menzahirkan sokongan terhadap sekutunya, Hamas, yang menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, sekali gus mencetuskan perang Gaza.
Di sebuah hospital di pinggir selatan Beirut, orang ramai yang cedera dirawat di tempat letak kereta di atas tilam nipis, dengan sarung tangan perubatan bersepah di atas tanah dan pengusung ambulans berlumuran darah.
Di hospital lain di kawasan itu, seorang lelaki cedera di muka, mata dan tangan, dan seorang lagi di sisi pinggangnya, dengan orang ketiga dirawat di dalam kereta.
“Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melihat seseorang yang sedang berjalan... dan kemudian meletup,” kata Encik Musa, seorang penduduk di pinggir selatan Beirut.
Letupan secara tiba-tiba dan meluas itu mencetuskan suasana huru-hara di serata negara.
Video dan imej ngeri disebarkan di media sosial termasuk individu yang berlumuran darah dan cedera di paras pinggang, lengan dan muka akibat alat kelui mereka yang tiba-tiba meletup.
Satu video, yang tidak dapat disahkan oleh AFP, menunjukkan para pengunjung sebuah kedai sayur bertempiaran lari apabila letupan berlaku dan seorang lelaki dilihat rebah ke tanah.
Seorang saksi, yang enggan namanya disiarkan, menyatakan beliau melihat alat kelui seorang anggota Hezbollah meletup serta-merta selepas beliau menerima mesej menerusi peranti itu.
Di bawah struktur khemah yang didirikan di bawah jambatan di pinggir bandar selatan Beirut, berpuluh-puluh orang berkerumun untuk mendermakan darah di pusat pendermaan sementara.
Kebanyakan lelaki datang untuk menderma darah, dengan kantung-kantung berisi darah penuh di atas meja dan kemudian dimasukkan ke dalam kotak sejuk.
Di daerah komersial Hamra di ibu negara, seorang wartawan AFP melihat puluhan orang berkerumun di pintu masuk salah sebuah hospital utama di bandar itu ketika ambulans sibuk berulang-alik membawa mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan.
Ada yang menangis atau menjerit kerana marah atau geram atas kejadian yang berlaku.
Di selatan Lebanon berdekatan sempadan Israel, seorang wartawan AFP melaporkan berpuluh-puluh ambulans bergegas antara bandar Tire dengan Sidon, dengan hospital di kedua-dua bandar dikepung.
Wartawan AFP di timur Lebanon pula berkata berpuluh-puluh orang cedera dalam kejadian serupa di Lembah Bekaa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg