SETELAH bekerja keras sepanjang hari menjual kentang goreng, di gerai pinggir jalan bandar Nezahualcoyotl, Mexico, Roxana Ruiz berehat sambil minum, apabila seorang lelaki, Sinai Cruz, yang pernah dilihatnya di kejiranan itu, mengajaknya bersantai.

Lelaki itu menawarkan untuk menemaninya pulang dan minta dibenarkan bermalam kerana katanya rumahnya terlalu jauh.

Ruiz mengizinkannya, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila lelaki itu memukul dan merogolnya.

Untuk pertahankan dirinya, Ruiz, seorang ibu tunggal, mencerut leher Cruz dengan baju yang dapat dicapainya, hingga lelaki itu mati.

Kisah ngeri itu tidak berakhir pada petang sehari dalam bulan Mei 2021 itu.

Mahkamah Mexico pada Isnin, memutuskan tindakannya itu sebagai "keterlaluan bagi mempertahankan dirinya".

Ruiz didapati bersalah kerana membunuh dan dijatuhi hukuman penjara selama 74 bulan.

Wanita berusia 23 tahun itu juga diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah 285,000 peso ($21,700) kepada keluarga lelaki itu.

Hakim mahkamah, Cik Monica Osorio, berkata Ruiz "boleh memukul kepala lelaki itu untuk pertahankan diri dan meninggalkan dia di situ apabila tidak sedarkan diri, itu sudah memadai."

Tetapi Ruiz berkata "jika saya tidak pertahankan diri saya, saya akan mati juga".

"Nampaknya, bertindak pertahankan diri dan mengelak daripada dirogol, menjerumuskan saya di penjara," katanya.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kemarahan di Mexico, sebuah negara di mana purata 10 wanita dibunuh setiap hari dalam 2022, menurut data pemerintah.

Daripada 3,754 wanita yang dibunuh dalam 2022, hanya sepertiga saja siasatan yang dilakukan terhadap aksi pembunuhan wanita itu.

Ruiz berkata, beliau sedar yang beliau hampir saja menjadi mangsa serupa itu.

"Sama ada nyawa saya atau nyawa dia yang melayang," kata Ruiz pada Rabu.

"Saya terjaga dan lelaki itu di atas tubuh saya dengan seluar dan celana dalamnya ditanggalkan.

"Jadi satu-satunya cara untuk melepaskan diri adalah pertahankan diri saya untuk lepas dan hidup."

Dalam keadaan panik selepas lelaki itu diketahui mati, Ruiz memasukkan mayatnya dalam sebuah beg dan membuangnya di tepi jalan di luar rumahnya.

Ruiz ditangkap selepas seorang jiran memberitahu polis. - ST.