Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

IMF tidak nafi kemelesetan global tahun depan

Jul 08, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan prospek ekonomi sejagat 'menjadi gelap dengan ketara' sejak April lalu, dan tidak menafikan kemungkinan berlakunya kemelesetan global tahun depan memandangkan risiko ekonomi yang meningkat.



Pengarah Urusan IMF, Dr Kristalina Georgieva, berkata agensi itu akan menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga, yang ketika ini diunjurkan sebanyak 3.6 peratus, dengan pakar ekonomi IMF sedang memuktamadkan angka baru.



IMF dijangka menerbitkan ramalan terkini bagi 2022 dan 2023 hujung bulan ini selepas menurunkan unjuran awalnya sebanyak hampir satu mata peratusan pada April lalu.



Tahun lalu, ekonomi sejagat berkembang sebanyak 6.1 peratus.



"Prospek sejak kemas kini terakhir kami pada April telah menjadi gelap dengan ketara," kata Dr Georgieva kepada Reuters dalam satu temu bual, memetik penyebaran inflasi yang lebih universal, kenaikan kadar faedah lebih ketara, kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi China dan peningkatan sekatan yang berkaitan perang Russia-Ukraine.



"Kita berada dalam keadaan yang amat bergelora," katanya.



Ditanya sama ada kemungkinan kemelesetan global tidak akan berlaku, beliau berkata:



"Risikonya sudah meningkat, jadi kami tidak boleh menafikannya."



Katanya, data ekonomi terkini menunjukkan negara dengan ekonomi besar termasuk China dan Russia, menguncup pada suku kedua tahun ini, dan risikonya menjadi lebih tinggi tahun depan.



"Keadaan semasa pada tahun ini adalah sukar, namun ia akan bertambah sukar pada 2023. Risiko kemelesetan meningkat tahun depan," katanya.



Menurut Dr Georgieva, kawalan kewangan jangka panjang yang lebih ketat akan menyukarkan unjuran perkembangan ekonomi global tetapi adalah penting bagi mengekang kenaikan harga barangan dengan segera.



Masa depan global kini semakin tidak menentu berbanding dua tahun lalu, dengan negara pengeksport tenaga termasuk Amerika Syarikat berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara pengimport.



"Pertumbuhan ekonomi lebih perlahan adalah 'harga yang perlu kita bayar' susulan tekanan dan tuntutan supaya kestabilan harga dikembalikan.



"Peningkatan risiko serta perbezaan antara dasar fiskal dengan kewangan memerlukan negara melakukan penyelarasan teliti dalam setiap tindakan, jangan sampai sokongan fiskal menjejas keupayaan bank mengawal inflasi.



"Kita perlu mewujudkan penyelarasan lebih kukuh antara bank pusat dan Kementerian Kewangan supaya sokongan bersasar dapat diberikan... tanpa melemahkan dasar kewangan yang ingin dicapai," katanya.



Selain itu, ketua pegawai pelaburan di Vertium Asset Management di Sydney, Encik Jason Teh, berkata kini semakin kuat kedengaran akan kenaikan risiko kemelesetan di merata dunia. - Reuters.




"Prospek sejak kemas kini terakhir kami pada April telah menjadi gelap dengan ketara...

Kita berada dalam keadaan yang amat bergelora.

Keadaan semasa pada tahun ini adalah sukar, namun ia akan bertambah sukar pada 2023.

Risiko kemelesetan meningkat tahun depan."

- Pengarah Urusan IMF, Dr Kristalina Georgieva.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >