JOHOR BARU: Jabatan Imigresen Malaysia telah membentuk sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat sindiket pelacuran yang dikaitkan dengan wang tunai kira-kira RM13 juta ($4.25 juta) yang ditemui semasa satu serbuan baru-baru ini di Kota Kinabalu, Sabah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata siasatan akan dijalankan untuk menentukan apakah sindiket itu mempunyai hubungan dengan tempat dan lokasi lain.
Beliau berkata Jabatan Imigresen membentuk pasukan petugas disebabkan pendatang tanpa izin terlibat dalam sindiket itu.
“Penemuan itu menunjukkan bahawa pelacuran di negara ini adalah satu perkara yang sangat serius dan perlu ditangani,” katanya, sambil menambah sindiket itu akan didakwa di bawah akta berkaitan pencegahan pembiayaan pengganasan, penggubahan wang haram dan ganjaran daripada kegiatan terlarang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Ahad (26 Nov).
Dilaporkan bahawa wang tunai kira-kira RM13 juta dijumpai pada Jumaat lalu di dua lokasi oleh pegawai Jabatan Imigresen ketika menyerbu sebuah hotel Kota Kinabalu hasil daripada maklumat.
Pegawai jabatan itu menyelamatkan 20 wanita Filipina yang disimpan di hotel tersebut dan menemui wang tunai itu apabila mereka menahan tiga anggota sindiket yang disyaki. – The Star/Asia News Network