ISLAMABAD: Mantan perdana menteri Pakistan, Encik Imran Khan, menang majoriti kerusi dalam pilihan raya kecil, membina momentum dalam kempennya untuk mendesak pemerintah berusia enam bulan supaya mengadakan pilihan raya awal di peringkat nasional.
Encik Imran bertanding tujuh daripada lapan kerusi dan telah memenangi enam, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan selepas semua undi dikira. Parti Rakyat Pakistan, rakan gabungan pemerintah, memenangi dua kerusi yang lain.
Walaupun bekas pemimpin itu perlu meletak jawatan daripada semua kecuali satu daripada kerusi yang dimenanginya - dan pilihan raya perlu dijalankan lagi - kemenangan itu menunjukkan pengundi di negara dengan lebih 220 juta penduduk itu menyokong naratif politiknya.
Bekas bintang kriket itu, yang digulingkan daripada kuasa melalui undi tidak yakin pada April lalu, telah mengadakan perhimpunan di serata Pakistan yang menarik sokongan ramai orang, untuk mendesak pilihan raya awal diadakan.
"Saya meminta pemerintah dan pertubuhan supaya menghormati kehendak orang ramai dan segera mengumumkan pilihan raya baru di negara ini," kata Encik Fawad Chaudhry, seorang pemimpin kanan parti Pakistan, Tehreek-e-Insaf (PTI), pimpinan Encik Imran, melalui satu ciapan.
"Kami bersedia membincangkan rangka kerja pilihan raya dengan pemerintah," katanya.
Drama politik itu muncul sedang pemerintah pimpinan Encik Shehbaz Sharif bergelut dengan tekanan ekonomi.
Syarikat penarafan kredit Moody's menurunkan penarafan kredit negara itu dan rizab pertukaran asing Pakistan telah merosot ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun.
Banjir teruk awal tahun ini juga telah meruncingkan krisis.
Undian itu berlaku selepas kesemua 131 ahli parlimen dari parti Encik Imran meletak jawatan daripada parlimen pada April berikutan pertukaran pemerintah. Pilihan raya bagi kerusi tersebut diadakan secara berperingkat.
Walaupun kemenangan besar akan memberi semangat kepada Encik Imran dan penyokongnya, masalah undang-undang yang dihadapi masa kini mungkin menjejas cita-cita politiknya.
Suruhanjaya Pilihan Raya berkata parti Encik Imran menerima dana asing haram daripada Amerika Syarikat, Australia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). PTI telah menafikan pertuduhan itu dan sedang merayu terdapat tuduhan berkaitan.
Sebarang keputusan mengenai hukuman yang dihadapi parti itu jika ia kalah dalam rayuannya terletak pada Mahkamah Agung yang boleh mengenakan larangan bertanding dalam pilihan raya.
Agensi penyiasat tertinggi Pakistan juga telah memfailkan aduan terhadap Encik Imran kerana menerima dana secara tidak sah dalam akaun partinya daripada pengasas Abraaj Group yang kini tidak berfungsi di Dubai, Encik Arif Naqvi, lapor akhbar Dawn.
Encik Imran terpaksa mendapatkan jaminan awal dalam dua daripada kes itu. Sabitan jenayah boleh menyaksikan Encik Imran dihalang daripada bertanding jawatan politik selama lima tahun, menurut undang-undang Pakistan. - Agensi berita.