Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

India pergiat kempen vaksin Covid-19

Permudah proses, buka lebih banyak pusat bagi beri vaksin kepada 300j daripada 1.35 bilion penduduk jelang Ogos
Mar 31, 2021 | 05:30 AM



DUNGARGARH/SATARA (India): India sedang mempergiat kempen vaksinnya, mempermudah proses tersebut, serta membuka lebih banyak pusat vaksinasi sedang ia berusaha mengatasi lonjakan jangkitan baru.



Lebih 3.2 juta orang mendapat suntikan vaksin sehari minggu lalu, antara kadar tertinggi di dunia, dan pihak berkuasa kesihatan di seluruh negara meminta lebih banyak dos sedang permintaan meningkat dan bekalan di beberapa tempat berkurangan.



Pegawai kesihatan berkata pusat vaksin baru akan ditubuhkan berdekatan penduduk sebagai sebahagian usaha memperluas dan mempercepat kempen tersebut.



Seorang pegawai kesihatan kanan di wilayah timur Jharkhand berkata beliau berharap dapat meningkatkan bilangan vaksin seganda daripada sekitar 35,000 sekarang, antara lain dengan mewujudkan lebih banyak pusat vaksin.



"Kami sedang berusaha (mempermudah) proses ini... agar orang ramai tidak perlu menempuh perjalanan lebih dua kilometer dari tempat tinggal mereka," kata Encik Ravi Shankar Shukla.



Dengan 1.35 bilion penduduk, atau 15 peratus daripada penduduk dunia, India mempunyai jumlah jangkitan ketiga tertinggi di dunia dengan 11.8 juta kes. Secara keseluruhan, kira-kira 161,000 penduduk negara itu maut akibat Covid-19.



Antara cabaran yang dihadapi dalam proses vaksin di negara itu ialah rupa bumi sukar, kesambungan Internet lemah dan sistem pengangkutan terbatas.



Pada mulanya, pihak berkuasa mahu orang ramai membuat janji temu vaksinasi menerusi Internet tetapi tidak semua boleh melakukannya hingga peraturan itu ditiadakan dan kini orang ramai hanya perlu ke pusat vaksin langsung.



Pekerja penjagaan kesihatan akar umbi turun padang di seluruh negara untuk menjelaskan fakta dan menggesa orang ramai, seperti penanam tebu berusia 56 tahun Kamal Sanas, mendapatkan suntikan vaksin.



Cik Sanas bersama suaminya telah kepejabat kampung di daerah Satara dan meminta seorang pekerja membuat janji temu bagi mereka menggunakan telefon bijaknya.



"Itu cukup mudah," kata Cik Sanas di sebuah pusat kesihatan untuk mendapatkan vaksinnya.



"Pekerja penjagaan kesihatan mengatasi semua keraguan kami mengenai vaksin dan menjelaskan sebab warga emas harus mendapatkannya."



India telah memberi lebih 53 juta suntikan, dos paling banyak di dunia setelah Amerika Syarikat dan China. Tetapi secara per kapita, India, pembuat vaksin terbesar di dunia, jauh lebih rendah daripada dua negara itu.



India mahu memberi vaksin kepada sekurang-kurangnya 300 juta orang menjelang Ogos.



Mulai 1 April, ia akan memperluas kempen vaksin daripada warga emas dan golongan mudah terjejas kepada semua orang berusia 45 tahun ke atas.



Vaksin yang diberi di India ialah AstraZeneca, yang dibuat di negara itu, dan satu lagi yang dibuat syarikat tempatan Bharat Biotech.



Vaksin itu boleh disimpan dalam peti sejuk biasa. Di tempat tiada bekalan elektrik stabil, kotak ais perlu disediakan.



Pekerja kesihatan juga perlu menyesuaikan diri dengan gangguan Internet yang mungkin berlaku, bagi memastikan ia tidak menjejas proses vaksin.



Pusat kesihatan juga kini menggalak orang ramai menyebarkan mesej tentang vaksin di media sosial.



Pegawai juga yakin mereka dapat mempercepat proses itu selagi mereka mempunyai dos.



Negara itu telah menghentikan buat sementara semua eksport suntikan AstraZeneca yang dibuat oleh Institut Serum India dan mungkin menambah bekalan dengan vaksin Sputnik V dari Russia. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >