JAKARTA: Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Erick Thohir mengumumkan bahawa projek pembinaan Terminal 4 Lapangan Terbang Bandara Soekarno-Hatta, Tangerang, Banten, dibatalkan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas menilai bahawa Terminal 1, 2, 3 di lapangan terbang tersebut yang sedia ada sekarang hanya perlu dinaik taraf atau memerlukan kerja-kerja pembaikan untuk menampung lebih ramai penumpang.
“Memang kita harus pastikan seluruh projek itu benar-benar cekap diuruskan, penanda arasnya jelas dan tidak melibatkan pembaziran.
“Justeru, kita putuskan projek pembinaan Terminal 4 dibatalkan,” ujar Encik Erick ketika ditemui di Kompleks Parlimen Senayan pada 4 November.
Projek Terminal 4, yang dimulakan semasa pentadbiran Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi pada 2019, dianggarkan menelan belanja Rp14 trilion (S$1.168 bilion).
Namun, selepas penilaian teliti, Encik Erick membuat kesimpulan bahawa projek itu tidak diperlukan dan kos menaik taraf terminal sedia ada, yang dijangka menelan belanja sekitar Rp1 trilion, sudah memadai untuk meningkatkan kapasiti penumpang.
“Terminal 1, 2, dan 3 boleh dimaksimumkan dengan menambah baik kedua-dua lorong dan ruang atau bilik,” tambahnya.
Beliau menekankan komitmen pemerintah terhadap pengurusan projek yang cekap dan telus serta mengelak skandal rasuah yang melanda projek perusahaan milik negara sejak lima tahun lalu.
Sebelum ini, pentadbiran Presiden Jokowi meletakkan sasaran untuk menyiapkan Terminal 4 menjelang 2021 bagi meningkatkan kapasiti penumpang di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta kepada 110 juta setahun.
“Kami menyasarkan untuk menampung 110 juta penumpang setiap tahun dengan penambahan Terminal 4,” katanya semasa pemeriksaan Landasan 3 di lapangan terbang tersebut pada Jun 2019. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg