Indonesia gantung kerjasama ketenteraan dengan Australia

JAKARTA: Indonesia berkata pada Rabu (4 Jan) ia telah menggantungkan kerjasama ketenteraan dengan Australia, dilaporkan disebabkan bahan latihan bersifat menghina, dalam satu ketegangan baru antara negara berjiran itu.

Kerjasama, termasuk latihan ketenteraan dan program pendidikan serta pertukaran, digantung bulan lalu, kata jurucakap tentera Indonesia, Mejar Jeneral Wuryanto.

"Kerjasama ketenteraan dengan tentera Australia digantung sementara kerana masalah teknikal," katanya.

Akhbar Kompas Indonesia berkata tindakan itu diambil selepas seorang instruktor daripada pasukan khas Indonesia menemui bahan latihan yang beliau rasa tidak menghormati Indonesia dan angkatan tenteranya di sebuah pusat Australia semasa satu program pertukaran.

Mej-Jen Wuryanto enggan mengesahkan ini, dan hanya berkata penggantungan itu disebabkan beberapa masalah.

Dua jiran itu sekutu utama tetapi hubungan antara mereka ada pasang surutnya.

Hubungan jatuh ke paras paling rendah semasa pentadbiran Perdana Menteri Tony Abbott di Australia, disebabkan tindakan Jakarta melaksana hukuman mati ke atas penyeludup dadah dari Australia dan dasar tegas Canberra memaksa bot migran pulang ke Indonesia.

Jakarta menggantung latihan ketenteraan dengan Australia pada 2013 disebabkan dakwaan bahawa perisik Australia cuba mencuri dengar perbualan telefon presiden Indonesia ketika itu, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, tetapi disambung semula tahun berikutnya.

Mej-Jen Wuryanto berkata tentera Indonesia menghantar surat kepada Angkatan Pertahanan Australia pada 9 Dis untuk memberitahu tentang penggantungan itu.

"Mudah-mudahan masalah ini akan diselesaikan tidak lama lagi," katanya, sambil menambah tentera Indonesia masih berhubungan dengan angkatan Australia.

Ini ketegangan serius pertama antara dua jiran itu setelah hubungan bertambah baik sejak Encik Malcolm Turnbull menjadi pemimpin Australia pada 2015. - AFP