Indonesia, Malaysia sedia lakukan pembenihan awan

DUA pesawat Indonesia sudah bersiap sedia untuk menjalankan operasi pembenihan awan untuk meredakan keadaan jerebu di Riau.

Hujan diramalkan di wilayah berdekatan Singapura dan Malaysia menjelang beberapa hari akan datang.

Pasukan tindak balas kecemasan Indonesia berjaya mencetuskan hujan lebat di beberapa kawasan di wilayah Riau Jumaat lalu (13 September), yang menyebabkan kualiti udara di ibu kota Pekanbaru menjadi semakin baik buat sementara waktu, menurut laporan media tempatan.

Pemangku Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia Agus Wibowo berkata satu lagi pesawat akan tiba di Pekanbaru pada Isnin (16 September) untuk membantu operasi pembenihan awan.

Pada Ahad (15 September), kualiti udara di Pekanbaru jatuh ke kategori tidak sihat dengan catatan udara antara 182 hingga 201, menurut bacaan PM10.

Asap didapati berasal dari 27 kawasan di Riau, di mana kadar penglihatan terhad antara 1km hingga 2.2km, kata BNPB dalam satu kenyataan.

Pasukan tindak balas kecemasan Indonesia telah berusaha melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan Indragiri Hilir dan Pelalawan, tetapi rencana itu dibatalkan kerana tidak ada awan yang sesuai, kata Encik Jim Gafur, ketua pasukan tindak balas kecemasan di BNPB kepada akhbar The Straits Times (ST).

Atas langkah amaran kesihatan, pemerintah Riau telah menggantung kegiatan di sekolah buat sementara waktu, dan menyediakan topeng muka kepada penduduk setempat. 

Pusat penjagaan kesihatan kecemasan juga telah ditubuhkan.

Syarikat penerbangan Lion Air Group berkata ia sama ada telah menangguhkan, membatalkan atau menukar lokasi pendaratan 154 penerbangan domestik pada Ahad ekoran kadar penglihatan yang rendah. 

Syarikat penerbangan Garuda Indonesia juga telah membatalkan 12 penerbangan domestiknya.

Sementara itu, Malaysia berharap dapat memulakan operasi pembenihan awan mereka sendiri pada Isnin, selepas rancangannya untuk berbuat demikian pada Ahad dibatalkan dek keadaan kurang sesuai.

Di Johor, keadaan berjerebu yang semakin buruk telah memaksa lebih 300 sekolah dan tadika ditutup pada Ahad di Muar, Tangkak dan Pontian, justeru menjejas sekitar 90,000 pelajar, selepas Indeks Pencemar Udara (API) mencecah paras tidak sihat.