JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia telah meluluskan sebahagian petisyen oleh seorang aktivis alam sekitar, sekali gus membuka jalan bagi pindaan undang-undang bagi menghalang pemerintah atau syarikat memfail aduan fitnah sekiranya menerima kritikan.

Menurut aktivis hak asasi manusia, undang-undang Maklumat Elektronik dan Transaksi adalah ancaman kepada kebebasan bersuara dalam negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Melaluinya, pemerintah boleh menggunakannya untuk mengambil tindakan jenayah terhadap pengkritiknya.

Aktivis alam sekitar, Encik Daniel Frits Maurits Tangkilisan, mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan untuk membatalkan artikel dalam undang-undang yang mengawal selia fitnah.

Mahkamah tidak membatalkan artikel itu tetapi melarang “pemerintah, syarikat, institusi, atau kumpulan dengan identiti tertentu” daripada memfailkan aduan fitnah terhadap individu, kata hakim Encik Arief Hidayat.

Beliau menjelaskan bahawa aduan fitnah hanya boleh difailkan oleh individu yang menjadi sasaran fitnah tersebut.

Tindakan mahkamah diambil bagi menjamin kepastian undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan sewenang-wenangnya oleh pihak penguat kuasa.

Sebarang keputusan Mahkamah Perlembagaan berkuat kuasa serta-merta dan mengikat di sisi undang-undang.

Peguam Encik Tangkilisan, Encik Todung Mulya Lubis, memuji keputusan itu dengan berkata pemerintah yang baik masih memerlukan pengkritik, lapor akhbar tempatan, Kompas.

Pengarah Eksekutif Amnesty International di Indonesia, Encik Usman Hamid, juga berkata keputusan itu adalah positif.

“Kami masih boleh meletakkan harapan kami kepada mahkamah dalam mencegah kemunduran kebebasan awam di Indonesia,” katanya kepada agensi berita, Reuters.

Antara contoh kes fitnah yang terkenal di Indonesia melibatkan dua aktivis hak asasi manusia yang dituduh melakukan fitnah di bawah undang-undang pada 2023.

Namun, selepas dituduh memfitnah seorang menteri kanan Kabinet, mereka kemudian dibebaskan.

Seorang penyanyi dan tokoh pembangkang, Encik Ahmad Dhani, dijatuhi hukuman penjara setahun pada 2019 di bawah undang-undang selepas menggelar seteru politik sebagai ‘bodoh’ dalam video dalam talian.

Mahkamah Tinggi Semarang pada Mei 2024, membebaskan Encik Tangkilisan daripada tuduhan jenayah berkaitan siaran di media sosialnya yang menyorot isu pembuangan sisa udang secara haram di Taman Nasional Karimunjawa.

Encik Tangkilisan, aktivis alam sekitar, secara terang-terang menegur masalah pencemaran akibat pembuangan sisa udang secara haram di taman tersebut.

Peneliti daripada Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah (ICJR), Encik Nur Ansar, menyatakan Encik Tangkilisan tidak seharusnya dikenakan tindakan undang-undang sejak awal kerana ia memberikan kesan buruk terhadap kebebasan meluahkan pendapat di Indonesia. – Agensi berita.