LONDON: Inflasi makanan di kedai-kedai di Britain, melonjak ke paras tertinggi bulan lalu, dengan peruncit memberi amaran tentang kenaikan harga sekali lagi, tahun ini.
Konsortium Perniagaan Runcit Britain (BRC), kelmarin mengatakan bahawa inflasi makanan "memecut" kepada 13.3 peratus pada Disember, daripada 12.4 peratus pada bulan sebelumnya, kenaikan paling tinggi menurut indeks harga, bermula pada 2005.
"Tahun 2023 akan menjadi satu lagi tahun yang sukar bagi pengguna dan perniagaan, kerana inflasi tidak menunjukkan tanda amaran segera," kata ketua pegawai eksekutif BRC, Cik Helen Dickinson.
Beliau memberi contoh dengan menyebut tentang tekanan berterusan ekoran perang di Ukraine, mengakibatkan kenaikan kos makanan haiwan, baja dan tenaga.
Kos makanan segar naik 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, juga kenaikan paling tinggi, daripada 14.3 peratus pada November lalu.
Namun, pada keseluruhannya, inflasi di kedai-kedai di Britain turun pada Disember, pertama kali dalam masa setahun.
Menurut BRC lagi, inflasi harga di kedai-kedai, turun sedikit kepada 7.3 peratus berbanding November iaitu 7.4 peratus.
Penurunan harga secara keseluruhan, adalah disebabkan oleh peruncit yang banyak memberikan potongan harga, menjelang perayaan Krismas, untuk mengalihkan lebihan inventori.
Kebanyakan kedai memesan produk lebih awal pada tahun lalu, apabila rangkaian pembekal memerlukan pembeli menunggu lebih lama dan sebelum inflasi meningkat dan menjejas pengguna.
BRC segera memberi amaran kepada para pengguna bahawa penurunan harga itu tidak bermakna berakhirnya inflasi, dan para peruncit mungkin menaikkan semula harga lebih tinggi, mulai April, sebaik sahaja kerajaan menghentikan bantuan bagi bayaran bekalan tenaga.
Para peruncit di Britain mula memberi potongan harga lebih awal daripada biasa, untuk mendorong pengguna mengatur perbelanjaan sepanjang musim perayaan Krismas.
Pusat-pusat beli-belah seperti John Lewis Partnership Plc, dan rantaian kedai-kedai ubat seperti Boots, kedua-duanya memulakan tawaran jualan murah pada awal November.
Bulan pertama dalam tahun baru ini mungkin suram, kerana para pengguna harus melunaskan bayaran penggunaan kad kredit yang dibelanjakan pada Disember, dan tagihan bagi penggunaan bekalan tenaga juga sudah harus dilunaskan.
Para pengguna akan mengutamakan perbelanjaan bagi barangan keperluan harian, yang harganya terus meningkat, sementara perbelanjaan bagi barangan yang tidak perlu, seperti pakaian dan peralatan rumah ditangguhkan dulu.
Menurut Encik Mike Watkins, ketua perniagaan dan sektor perniagaan runcit, di NielsenIQ, berkata sektor ini akan terjejas.
Sejauh mana kesannya, masih belum diketahui kerana BRC sedang mengumpulkan maklumat mengenainya.
"Kenaikan kadar inflasi makanan akan menambah lagi tekanan ke atas perbelanjaan keluarga, dan tidak mungkin ada sebarang penambahbaikan dalam pemikiran pengguna, mengenai kewangan peribadi dalam tempoh terdekat," katanya. - Agensi berita.