KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijangka memaklumkan kepada Kabinet berhubung hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Encik Lee Hsien Loong, termasuk berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata setakat ini, perkara berkaitan HSR yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin berkenaan hanya dimaklumkan melalui kenyataan rasmi selepas pertemuan mereka sempena pelancaran Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi - Darat (VTL-Darat) di Singapura, Isnin lalu.
"HSR adalah projek yang dibincangkan di antara Perdana Menteri Malaysia dan Singapura. Ketika kenyataan rasmi dibuat, Perdana Menteri Singapura berkata, perkara ini dibincangkan dan mereka sedia berbincang semula (mengenai HSR).
"Kita belum mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri lagi. Jadi Jumaat ini, saya jangkakan, Perdana Menteri akan melaporkan kepada Kabinet mengenai hasil pertemuan empat mata antara kedua-dua Perdana Menteri.
"Ketika ini, belum ada tempoh perbincangan, cuma kenyataan rasmi sahaja. Selepas ini, hala tujunya akan ditentukan Perdana Menteri dan dimaklumkan kepada Kabinet," katanya.
Pada sidang media bersama Isnin lalu, Encik Lee berkata Singapura terbuka menerima cadangan baru dari Malaysia berkaitan HSR walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini bersetuju menamatkan projek berkenaan.
Encik Lee berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berharap menerima butir lebih terperinci dari Malaysia, selepas Datuk Seri Ismail Sabri mencadangkan perbincangan mengenai HSR dihidupkan semula.
Perdana menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membatalkan projek itu dan membayar pampasan RM320 juta ($103 juta) kepada Singapura.
Sejak pengumuman itu pada Isnin, reaksi ahli politik di Malaysia bercampur-campur.
Mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengkritik idea itu sambil berkata Malaysia menjadi bahan senda kerana mencadangkan idea untuk menghidupkan semula HSR.
Menteri Besar Johor Hasni Mohammad sebaliknya menyokong langkah itu sambil menegaskan bahawa mana-mana projek HSR yang baru perlu "bermula dari awal".
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebelum ini berkata rundingan semula dengan Singapura dalam isu HSR telah dilaksanakan untuk dilakukan perubahan kepada struktur projek berkenaan. - Agesi berita.