BAYAN LEPAS (Pulau Pinang): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberi bayangan bahawa beliau mungkin berjumpa dengan 'lima jawatan tertinggi' parti Umno untuk membincangkan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sebelum pembentangan Belanjawan 2023.
Jawatan Umno itu merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Ismail Sabri sendiri.
"Macam saya beritahu sebelum ini, apa sahaja keputusan yang dibuat kita tunggu top five Umno bermesyuarat.
"Bila mesyuarat? Mesyuarat itu secepat mungkin," kata beliau menjawab pertanyaan media kelmarin berhubung kemungkinan PRU15 akan diadakan tahun ini.
Datuk Ismail Sabri turut ditanya sama ada pertemuan itu akan berlangsung selepas pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Oktober ini.
"Mungkin awal (sebelum Bajet 2023)," jawabnya ringkas.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad, berkata Datuk Ismail Sabri telah menyatakan bahawa PRU15 akan diadakan tahun ini.
Secara umum pilihan raya tidak dijangkakan pada lewat tahun ini kerana musim tengkujuh, yang sering menyebabkan banjir di kawasan Pantai Timur pada Disember.
Cuti sekolah akhir tahun dijadualkan bermula 9 hingga 31 Disember.
Mengulas pula mengenai keadaan kesihatan mantan perdana menteri, Encik Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara, namun dibawa ke hospital ekoran masalah kesihatan, Datuk Ismail Sabri berkata beliau sudah berhubung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan keperluan kesihatan mantan presiden Umno itu.
"Saya akan periksa. Semalam saya sudah menghubungi KKM apa sahaja yang diperlukan kita cuba penuhi.
"Kalau perlu masuk ke mana-mana (hospital), KKM akan putuskan," katanya.
Peguam Encik Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu Mahkamah Tinggi kelmarin bahawa anak guamnya telah dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur sejak Isnin dan boleh dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).
Perbicaraan Encik Najib berkaitan penyelewengan RM2.28 bilion ($711 juta) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) asalnya dijadualkan didengar dari Isnin hingga Khamis tetapi kini telah ditangguhkan.
Terdahulu Datuk Ismail Sabri menghadiri Majlis Perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pusat Konvensyen Setia SPICE oleh Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak. - BHM, The Star.