KAHIRAH: Sekurang-kurangnya 93 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila tentera Israel mengebom sebuah bangunan kediaman di bandar Beit Lahiya di utara Gaza pada 29 Oktober, kata Kementerian Kesihatan Gaza.
Amerika Syarikat melahirkan kebimbangan terhadap bilangan kematian yang tinggi dan menyifatkan serangan tersebut sebagai mengerikan.
Pakar perubatan berkata sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak adalah antara yang maut.
“Sebilangan mangsa masih berada di bawah runtuhan dan di jalan raya, dan ambulans serta krew pertahanan awam tidak dapat menghubungi mereka,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.
Pengarah pejabat media pemerintah Gaza, Encik Ismail Al-Thawabta, menyatakan jumlah kematian telah mencecah 93 orang.
Israel tidak segera memberi komen tetapi lazimnya mereka mempersoal angka kematian yang diterbitkan oleh pejabat media kendalian Hamas, menyatakan ia sering diperbesar-besarkan.
Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat berkata ia bimbang dengan jumlah korban yang tinggi, dengan jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller, menyifatkannya sebagai “kejadian mengerikan”.
Pegawai Amerika telah menghubungi pemerintah Israel untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku, kata Encik Miller sambil menambah bahawa beliau menyedari bahawa ramai yang mati adalah kanak-kanak.
Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia “terkejut” dengan salah satu serangan tunggal yang mengorbankan banyak nyawa dalam hampir tiga bulan, menggesa siasatan segera dan telus terhadap kejadian tersebut.
Rakaman video yang diperoleh Reuters menunjukkan beberapa mayat berbalut selimut di atas tanah di luar bangunan empat tingkat yang dibom.
Lebih banyak mayat dan mangsa yang terselamat sedang dibawa keluar dari puing-puing runtuhan bangunan.
“Berpuluh-puluh orang mati dan berpuluh-puluh orang yang kehilangan tempat tinggal apabila bangunan rumah mereka dibom tanpa amaran awal.
“Seperti yang anda lihat, ada bahagian badan tergantung di dinding,” kata Encik Ismail Ouaida, seorang saksi yang sedang membantu menguruskan mayat.
Pegawai kesihatan Palestin berkata, beberapa orang terbunuh dan cedera dalam serangan udara Israel yang juga melanda tiga buah rumah di Beit Lahiya.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin berkata sekitar 100,000 orang terperangkap di Jabalia, Beit Lahiya dan Beit Hanoun tanpa bekalan perubatan atau makanan.
Mereka yang cedera dalam serangan di Beit Lahiya tidak dapat menerima rawatan kerana doktor telah dipaksa untuk mengosongkan Hospital Kamal Adwan di kawasan terjejas.
Perkhidmatan kecemasan Gaza berkata operasinya telah terhenti kerana serangan Israel selama tiga minggu di utara Gaza.
Israel berkata serangan tersebut bertujuan memusnahkan kumpulan Hamas yang kembali berkumpul di utara Gaza.
Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel telah membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel di Gaza telah membunuh lebihi 43,000 rakyat Palestin. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg