Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel gempur kejiranan Bandar Gaza, arah penduduk ke selatan

Jun 28, 2024 | 3:27 PM
Penduduk Palestin membawa mangsa yang cedera ke Hospital Nasser di Khan Yunis, ekoran serangan tentera Israel di kawasan Mawasi Khan Yunis di selatan Gaza.
Penduduk Palestin membawa mangsa yang cedera ke Hospital Nasser di Khan Yunis, ekoran serangan tentera Israel di kawasan Mawasi Khan Yunis di selatan Gaza. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Israel menggempur kejiranan di Bandar Gaza pada 27 Jun, mengarahkan rakyat Palestin berpindah ke selatan ketika kereta-kereta kebal membedil bandar selatan Rafah itu dalam apa yang dikatakan sebagai peringkat akhir operasi menentang Hamas di sana.

Penduduk kejiranan Shejaia di Bandar Gaza berkata mereka terkejut dengan kehadiran kereta kebal yang melepaskan bedilan pada awal petang, dengan dron turut menyerang selepas pengeboman semalaman di bandar itu.

“Kedengarannya seolah-olah perang bermula semula dengan satu siri pengeboman yang memusnahkan beberapa rumah di kawasan kami dan menggegarkan bangunan,” kata Encik Mohammad Jamal, 25 tahun, seorang penduduk Bandar Gaza, menerusi aplikasi sembang.

Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin berkata serangan tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang di Shejaia setakat ini.

Lebih ramai mangsa dikhuatiri berada di bawah runtuhan yang tidak dapat didekati oleh pasukan penyelamat, katanya.

Rakaman video menunjukkan wanita, lelaki dan kanak-kanak membawa beg dan makanan ketika mereka berlari di jalan raya selepas serangan bermula.

Beberapa lelaki membawa kanak-kanak yang cedera, ada yang berdarah, dalam pelukan mereka semasa melarikan diri.

“Israel menyasarkan kami. Anda boleh lihat kanak-kanak menjadi sasaran mereka,” kata seorang lelaki yang menggendong seorang budak lelaki yang berdarah dalam pelukannya.

Jurucakap tentera Israel berkata mereka tidak mempunyai sebarang komen mengenai laporan kematian di Shejaia.

Sayap bersenjata Hamas berkata ia telah meletupkan bahan letupan pratanam terhadap kereta kebal Israel di timur daerah itu.

Israel menuduh Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam dan berkata ia telah memberi amaran kepada penduduk supaya menjauhi operasinya.

“Untuk keselamatan anda, anda mesti berpindah segera ke selatan di Jalan Salah al-Din ke zon kemanusiaan,” kata jurucakap tentera Israel, Encik Avichay Adraee, merujuk kepada pemberitahuan menerusi platform X kepada penduduk di Shejaia.

Penduduk dan media Hamas berkata kereta kebal Israel telah bergerak masuk sebelum pengumuman itu dan orang dari pinggir bandar timur berlari ke arah barat di bawah tembakan kerana Israel telah menutup jalan ke selatan.

Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin berkata sejurus sebelum tengah malam, serangan udara Israel melanda ibu pejabatnya di kem Al-Nuseirat di tengah Jaluran Gaza, membunuh tiga anggota perkhidmatan penyelamat.

Ia berkata jumlah kematian baru telah meningkatkan bilangan kakitangan yang terkorban kepada 74 sejak perang meletus pada 7 Oktober.

Di Rafah, dengan kereta kebal telah masuk ke beberapa kawasan kejiranan sejak 7 Mei, pakar perubatan berkata empat rakyat Palestin terbunuh dek bedilan kereta kebal di kawasan barat bandar itu, dengan tentera Israel memperdalam pencerobohannya beberapa hari kebelakangan ini.

Tiada ulasan segera Israel mengenai kedua-dua insiden itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg