Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KONFLIK ISRAEL-PALESTIN

Israel, Hamas umum gencatan senjata

May 22, 2021 | 05:30 AM



GAZA: Pergerakan Hamas dan pemerintah Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata semalam, sekali gus mengakhiri pertempuran ganas yang berlangsung selama 11 hari sejak 10 Mei lalu.



Pergerakan Hamas yang secara sah mentadbir Jaluran Gaza dan sekutunya, Islamic Jihad, mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuat kuasa bermula 2 pagi semalam (waktu tempatan), atau 7 pagi waktu Singapura.



Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel, Kabinet Keselamatan pimpinan Encik Benjamin Netanyahu menerima 'dengan sebulat suara' cadangan yang dibuat atas daya usaha Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat itu.



Pengumuman itu menyaksikan kehidupan masyarakat di Gaza kembali rancak dengan orang ramai keluar dari rumah mereka, dengan sebahagiannya melaungkan "Allahu Akhbar" atau bersiulan dari anjung kediaman mereka sedang ramai yang lain melepaskan tembakan ke udara, meraikan gencatan senjata itu, lapor agensi berita.



Kenyataan pihak Israel tidak memaklumkan bila gencatan senjata akan bermula.



Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, melihat ada 'peluang sahih' untuk keamanan berikutan Israel dan Pergerakan Hamas mengumumkan gencatan senjata.



"Saya percaya kita mempunyai peluang yang sahih untuk mencapai kemajuan dan saya komited untuk berusaha ke arah itu," katanya di Rumah Putih sambil merujuk kepada usaha Mesir menjayakan usaha damai tersebut.



Beliau turut mengumumkan bantuan kemanusiaan dan menegaskan ia akan disalurkan menerusi pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat dan bukannya menerusi Hamas, sekali gus menghalang pertubuhan itu menambah aset ketenteraan.



Sumber diplomatik memberitahu agensi berita AFP di Kahirah bahawa dua delegasi Mesir akan dihantar ke Tel Aviv dan wilayah Palestin bagi memantau dan memastikan gencatan senjata itu berkesinambungan.



Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, turut mengalu-alukan perkembangan itu dan menegaskan kini Israel dan Palestin bertanggungjawab mengadakan dialog secara serius bagi mengakhiri konflik.



Pergerakan Hamas menerusi 'Operasi Pedang Al-Quds', telah menyerang Israel dengan lebih 4,000 roket ke Tel Aviv dan kawasan seperti Holon, Yehud, Be'er Sheva dan pelbagai tempat lain.



Menurut tentera Israel, kebanyakan roket Hamas dapat dipintas menerusi sistem pertahanan udara, Iron Dome.



Pihak berkuasa Israel berkata serangan roket Hamas mengorbankan 12 nyawa, termasuk dua kanak-kanak dan seorang askar Israel selain seorang warga India serta dua warga Thailand.



Bagaimanapun serangan Israel ke atas Gaza mengorbankan 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,900 orang manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal, menurut pihak Hamas.



Lebih parah lagi, serangan Israel turut memusnahkan prasarana awam di Gaza, termasuk sistem saluran air bersih; sistem pembentung bagi najis dan kumbahan; janakuasa, hospital, sekolah dan jalan raya, lapor akhbar The New York Times, semalam.



Dikhuatiri kerapuhan sistem awam akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19, apatah lagi satu-satunya makmal ujian koronavirus telah dimusnahkan rejim Zionis.



Sasaran utama Israel adalah rangkaian terowong bawah tanah Hamas yang digunakan bagi pengerahan anggota pejuang dan senjata.



Menerusi 'Operasi Penjaga Tembok' ini, Israel telah membunuh sekurang-kurangnya enam pemimpin kanan Hamas dan Islamic Jihad, termasuk ketua dan pakar risikan dan pembuatan bom.



Encik Netanyahu telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kabinetnya kelmarin bagi menilai sejauh mana tentera Israel telah memusnahkan Hamas, termasuk memusnahkan rangkaian terowongnya dan bekalan roket dan peluncurnya.



Beliau dan pegawai Israel lainnya berkeras bahawa serangan ke atas Gaza akan terus dilakukan demi mempertahan keselamatan Israel.



Persengketaan antara Hamas dengan Israel telah bermula sejak penubuhan pergerakan itu pada 1980-an.



Dalam peperangan kali ini, Hamas telah melancarkan roket bertubi-tubi ke Israel selepas pihak berkuasa rejim itu bertindak melampau dengan mengasari jemaah di Masjidil Aqsa yang membuat bantahan ke atas pengusiran keluarga Palestin dari kediaman mereka di Sheikh Jarrah, di timur Baitulmakdis - yang dibangunkan khas oleh kerajaan Jordan dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNRWA, selepas Perang Arab-Israel pada 1948..



Tindakan pengusiran ini disebabkan pihak berkuasa Yahudi membenarkan pembangunan semula kawasan itu bagi membina perumahan untuk pendatang Yahudi. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >