Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel minta sokongan penuh AS halang penubuhan negara Palestin

May 20, 2024 | 12:55 PM
Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, berkata Amerika Syarikat mesti menerajui ketetapan di majlis Agensi Tenaga Antarabangsa pada Jun bagi  menggalak sekatan lanjut terhadap Iran.
Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, berkata Amerika Syarikat mesti menerajui ketetapan di majlis Agensi Tenaga Antarabangsa pada Jun bagi menggalak sekatan lanjut terhadap Iran. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Israel pada 19 Mei meminta sokongan dwipihak di Amerika Syarikat bagi menghalang penubuhan negara Palestin yang dikatakan akan memberi kemenangan kepada kumpulan Hamas dan penyokongnya, Iran.

Negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) termasuk Ireland, Sepanyol, Slovenia dan Malta berkata mereka boleh mengiktiraf negara Palestin pada Mei, melihat penyelesaian dua negara sebagai penting bagi keamanan yang berkekalan.

Menteri Luar Israel, Encik Israel Katz, yang bertemu dengan anggota tertinggi Dewan Rakyat, Encik Elise Stefanik, sebelum ini berkata bahawa jika sebuah negara Palestin ditubuhkan, Iran akan menggunakannya sebagai pangkalan “ke arah pemusnahan Israel”.

Beliau memberitahu Encik Stefanik, Amerika mesti menerajui ketetapan di majlis Agensi Tenaga Antarabangsa pada Jun bagi menggalakkan sekatan lanjut terhadap Iran, bagi menghentikannya mendapatkan senjata nuklear dan menyokong kumpulan sokongan seperti Hamas.

Iran menafikan dakwaan ia sedang cuba mendapatkan senjata nuklear.

Encik Stefanik telah memainkan peranan penting dalam cuba membendung protes yang tercetus di banyak kampus di Amerika menentang perang Israel di Gaza dan menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Perang Gaza meletus selepas Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke atas Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan menjadikan 253 tebusan, menurut pengiraan Israel.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 35,386 rakyat Palestin telah terbunuh, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Sementara itu, seorang pemimpin pembangkang Israel dalam Kabinet perang seramai tiga orang negara itu, Encik Benny Gantz, berkata pada 18 Mei bahawa jika Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak menawarkan rancangan baru untuk membawa balik tebusan dan menamatkan pemerintahan Hamas di Gaza menjelang 8 Jun, beliau akan meninggalkan pemerintah itu.

Pengunduran Encik Gantz akan meningkatkan tekanan yang semakin memuncak ke atas Encik Netanyahu, tujuh bulan selepas serangan Hamas menggugat Israel dan mendorong Israel melancarkan perang di Gaza.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak akan dengan sendirinya meruntuhkan gabungan pemerintah yang mempunyai 64 kerusi daripada 120 kerusi Parlimen.

Encik Netanyahu segera menolak permintaan Encik Grantz, lapor Reuters.

“Syarat-syarat yang ditetapkan oleh Benny Gantz adalah perkataan-perkataan yang jelas maksudnya: Berakhirnya perang dan kekalahan bagi Israel, meninggalkan kebanyakan tebusan, membiarkan Hamas utuh dan penubuhan negara Palestin,” kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan.

Tentera Israel cuba memusnahkan unit pejuang Hamas di bandar Rafah di selatan Gaza – operasi yang telah memaksa setengah juta rakyat Palestin melarikan diri – dan Encik Netanyahu marah kerana Encik Gantz mengancam memecahkan Kabinet di tengah-tengah pertempuran.

Encik Gantz dan Menteri Pertahanan Yoav Gallant dikatakan hampir tidak bercakap dengan Encik Netanyahu beberapa minggu kebelakangan ini berhubung pengurusan perangnya dan cara beliau mengetepikan Presiden Amerika, Encik Joe Biden dan pentadbirannya, yang menentang operasi Rafah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg