SHAH ALAM: Isteri kepada juruterbang Malaysia Airlines, pesawat MH17, Wan Amran Wan Hussin, 50 tahun, kecewa dengan laporan nahas pesawat tersebut yang seolah-olah tidak lengkap dan tidak menyatakan perkara sebenar.
Cik Mariam Yusof, 47 tahun, berkata, adalah wajar untuk dia dan keluarganya berasa sedemikian memandangkan mereka sudah menanti begitu lama.
"Saya amat kecewa dengan siasatan MH17. Setahun tiga bulan kami menanti, mengecewakan," katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.
Lembaga Keselamatan Belanda mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine, tahun lepas.
Pengerusinya, Encik Tjibbe Joustra berkata, peluru berpandu itu meledak di sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Sehubungan itu, Cik Mariam mahu pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi pesawat MH17 dibawa ke muka pengadilan.
Tegasnya, tindakan tersebut adalah sebagai satu hukuman yang adil selain mengembalikan maruah suaminya.
"Mana keadilan? Saya mahu pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Harapan kami cukup besar agar keadilan berlaku demi maruah suami saya," ujarnya. - Utusan Online