PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, berhubung mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi Umno jutaan ringgit bagi membantu parti itu ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah pada 2020.
Menurut sumber, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu dan akan memanggil Tan Sri Muhyiddin serta Tan Sri Annuar untuk disoal siasat, lapor Free Malaysia Today.
Dalam video yang dimuat naik ke TikTok pada 21 November lalu, Tan Sri Annuar mendakwa Tan Sri Muhyiddin menemuinya di Sabah untuk memberinya "berpuluh juta" ringgit.
Ini menimbulkan persoalan di media sosial dari mana datangnya wang itu.
"Saya loncat naik atas kapal terbang pergi ke Sibu… tanya Muhyiddin, saya masuk dalam bilik tidur, dia beritahu Umno habis duit di Sabah, tak cukup duit. Berpuluh juta Muhyiddin bagi membantu Umno Sabah," kata Tan Sri Annuar dalam video yang dimuat naik dua hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tan Sri Annuar yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia, adalah antara pemimpin Umno yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Selain siasatan SPRM atas dakwaan Tan Sri Muhyiddin memberi Umno jutaan ringgit itu, beliau juga disiasat atas dakwaan seleweng hampir RM600 bilion ($185.2 bilion).
Tan Sri Muhyiddin, bagaimanapun, menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan beliau juga tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana menurutnya semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan yang ditetapkan.
Beliau selanjutnya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memanggil mantan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, untuk menjelaskan adakah benar wujud penyelewengan perbelanjaan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
"Dia (kerajaan Anwar) tuduh saya mana pergi wang RM600 bilion, sewaktu saya jadi perdana menteri kita sebenarnya belanja RM530 bilion, bukan RM600 bilion untuk bantu nasib rakyat berhadapan masalah Covid-19 dan ekonomi.
"Yang menguruskan ini menteri kewangan pada waktu itu, namanya Tengku Zafrul, yang namanya juga tersenarai dalam Jemaah Menteri baru Anwar sekarang ini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),'' kata Tan Sri Muhyiddin.
Kelmarin, Umno turut menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin.
Ketua Penerangan UMNO, Encik Isham Jalil, berkata menerusi RCI, ia dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.
Pada 28 November lalu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi ciapan di Twitter berkata perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan itu diluluskan di Parlimen secara sebulat suara.
Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno turut menolak dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari 2020 hingga 2022. - Agensi berita.