Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Isu harga naik: PM M'sia beri bayangan kerajaan sedia beri bantuan tambahan

Jul 05, 2022 | 05:30 AM

PASIR SALAK (Perak): Isu kenaikan kos sara hidup sedang ditangani dan rakyat tidak akan dibiarkan menderita, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberi bayangan kerajaannya tidak menolak akan menyediakan bantuan wang tunai tambahan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), jika kenaikan harga barangan terus berlaku.

Ia bagi membantu meringankan beban golongan B40 yang terus terkesan oleh kos sara hidup jika harga barang terus meningkat. Golongan B40, atau 'Bottom 40', ialah kumpulan isi rumah terendah di Malaysia dengan pendapatan bulanan purata di bawah RM4,850 ($1,532).

Kerajaan, kata Datuk Ismail Sabri, sedang menyediakan subsidi bernilai RM77.7 bilion ($24.6 bilion) bagi ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air.

"Kami masih memberi subsidi untuk barangan ini. Satu-satunya perkara yang dihentikan ialah subsidi sekali sahaja buat minyak masak botol sejak ia diperkenalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.

"Bagi ayam, kami telah memperuntukkan subsidi bernilai RM700 juta bagi memastikan harganya kekal pada RM9.40 sekilo," katanya dalam ucapan penggulungan semasa acara jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Litar Dato Sagor kelmarin.

Datuk Ismail Sabri berkata ketika ini isi rumah golongan B40 menerima manfaat bantuan bernilai RM2,600 secara berperingkat.

"Dengan penambahan RM500, mereka menerima RM2,600 setahun (termasuk penambahan RM100 baru-baru ini). Dahulu tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan beri lebih daripada RM2,000," ujarnya.

"Kalau kes (kenaikan harga barang dan kos sara hidup) belum selesai, mungkin kita akan tambah lagi (BKM) Fasa 3 atau 4," katanya.

Untuk rekod, kerajaan Malaysia telah mengumumkan pemberian wang tunai tambahan menerusi BKM kepada golongan B40 yang terkesan oleh kos sara hidup, yang memberi manfaat kepada 8.6 juta penerima, dengan isi rumah menerima hingga RM2,500 pada tahun ini.

Kemudian kerajaan mengambil keputusan menyediakan bantuan wang tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

Dalam perkembangan sama, Datuk Ismail Sabri berkata rakyat tidak akan diminta ikat perut dalam menghadapi kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

Beliau memberi reaksi itu bagi membidas dakwaan pembangkang yang mengatakan kerajaan seolah-olah berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan menangani peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata kerajaan juga menyedari kenaikan beberapa harga barang. Menurutnya, kerajaan masih mengekalkan subsidi barangan asas, termasuk petrol dan diesel bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

"Minggu lepas di Masjid Jamek, Kampung Bharu, sebuah parti politik pembangkang mengadakan demonstrasi. Pelbagai tuduhan dibuat terhadap kerajaan, seolah-olah kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan kos sara hidup meningkat.

"Fenomena kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja tetapi global dan kita tidak terkecuali. Perdana Menteri zaman Pakatan Harapan dulu kata bila harga naik rakyat hendaklah ikat perut.

"Itu dulu, tapi kita tak kata macam itu. Kita akan mencari kaedah untuk memastikan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga," tambahnya.

Datuk Ismail Sabri berkata Malaysia mengimport produk bahan makanan, yang boleh menyebabkan kenaikan harga ayam.

Namun, dalam menangani kos sara hidup, kerajaan memperuntukkan subsidi lebih RM70 bilion untuk barangan asas dan tiada subsidi yang ditamatkan.

Pelbagai usaha juga sedang dilakukan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengatasi masalah itu, termasuk menubuhkan beberapa jawatankuasa.

"Kita (beri) subsidi makanan dan harga ayam sebanyak RM700 juta untuk pastikan harga kekal RM8.90; minyak masak RM4 bilion supaya harga minyak pek RM2.50 kalau tak RM9.50 sekampit (untuk) sekilogram," ujarnya. - BHM, The Star.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3