Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Isu lanjut tempoh Presiden Indo cetus kemelut

Jokowi gesa isu usah ditimbulkan lagi; akur dengan Perlembagaan iaitu khidmat presiden hanya dua penggal
Apr 19, 2022 | 05:30 AM



BEGITU hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini mengenai idea agar dilanjutkan tempoh kuasa Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi).



Ini ekoran usaha beberapa tokoh politik di negara ketiga terbesar demokrasi di dunia itu yang secara terbuka menyokong idea tersebut.



Ada yang menyokong namun ada juga menentang, menyifatkannya sebagai tamparan besar kepada demokrasi di negara itu.



Alasan golongan yang menyokong adalah mereka mahu Encik Jokowi, 60 tahun, diberi lebih banyak masa melaksanakan pemulihan ekonomi di samping melaksanakan agendanya, yang telah terjejas ekoran penularan Covid-19 yang bermula lebih dua tahun lalu.



Antara agenda besarnya termasuk pemindahan ibu kota Indonesia dari kota Jakarta di Pulau Jawa ke Nusantara di Kalimantan Timur.



Bagaimana lanjutan kuasa itu mahu dilakukan?



Ini dilakukan dengan dua cara: menangguhkan pilihan raya presiden yang dijadualkan pada Februari 2024, atau meminda perlembagaan untuk membenarkan Encik Jokowi bertanding bagi penggal ketiga.



Perlembagaan Indonesia hanya membenarkan seorang presiden berkhidmat bagi dua penggal, setiap satu selama tempoh lima tahun (jumlah 10 tahun).



Sejauh ini, Encik Jokowi mengekalkan kadar sokongan tinggi sejak kali pertama dipilih pada 2014, tetapi tinjauan terbaru oleh firma kaji selidik, Saiful Mujani Research and Consulting, menunjukkan lebih 70 peratus rakyat Indonesia menolak rancangan lanjutan kuasa itu.



Antara tokoh politik yang mengemukakan idea sokongan itu adalah Menteri Pelaburan, Encik Bahlil Lahadalia, yang menyatakan banyak anggota masyarakat perniagaan berharap pilihan raya 2024 ditunda untuk mengurangkan ketidaktentuan politik dan membantu mendorong pertumbuhan ekonomi negara terbesar di Asia Tenggara.



"Mereka (peniaga) baru pulih daripada krisis kesihatan, jadi kemungkinan dilanda lagi oleh ketidakstabilan politik bukanlah satu perkara baik," kata beliau kepada media.



Sedang Perlembagaan Indonesia melarang presiden berkhidmat lebih daripada dua penggal, idea Encik Lahadalia disokong Encik Muhaimin Iskandar, pengerusi Parti Kebangkitan Nasional (PKN), yang mencadangkan penangguhan pilihan raya selama dua tahun adalah paling sesuai.



Pengerusi dua parti politik lain dalam gabungan pemerintah Encik Widodo, Parti Amanat Nasional (PAN) dan Golkar, juga menyuarakan sokongan mereka.



Encik Luhut Pandjaitan, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, yang diketahui amat rapat dengan Encik Jokowi, turut menyokong idea itu.



Namun, sekurang-kurangnya lima parti politik, termasuk anggota gabungan pemerintah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Gerindra dan Parti Demokratik Nasional, telah bersuara menentang penangguhan pilihan raya.



Parti lain yang tidak bersetuju termasuk Parti Demokrat dan Parti Keadilan Sejahtera.



Satu tinjauan pendapat awam baru-baru ini oleh Kompas mendapati 62.3 peratus responden mahu pilihan raya 2024 diteruskan. Satu lagi yang dilakukan Lingkaran Survei Indonesia mendapati 70.7 peratus responden menentang penangguhan pilihan raya itu. Justeru, berdasarkan beberapa tinjauan awam itu, rakyat turut menolak penangguhan tersebut.



Bagi pihak Encik Jokowi, beliau sudah bersuara baru-baru ini selepas beberapa pihak mengkritiknya kerana tidak tegas menyatakan beliau tidak mahu melanjutkan kuasanya.



Beliau mengarahkan Kabinetnya agar berhenti mengutarakan idea itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada menangani kesusahan ekonomi yang dihadapi rakyat.



"Jangan sampai ada sesiapa yang bercakap mengenai penangguhan (pilihan raya) atau lanjutan (penggal jawatan presiden). Cukup." katanya pada satu mesyuarat Kabinet.



Sebelumnya, Encik Jokowi telah secara konsisten berkata beliau akan mematuhi Perlembagaan. Idea melanjutkan tempoh khidmat Encik Jokowi itu sudah pun mencetuskan kebimbangan tentang ancaman terhadap pembaharuan demokrasi yang dimenangi rakyat Indonesia secara susah payah.



Malah, kebimbangan itu telah mencetuskan bantahan pelajar bukan hanya di Jakarta, bahkan beberapa bandar besar lain di Indonesia.



Presiden kedua Indonesia, Encik Suharto, yang memerintah negara itu selama 32 tahun, sebelumnya diketahui umum selalu menyatakan hasratnya mahu berundur setiap kali satu daripada tujuh penggal jawatannya akan berakhir.



Namun setiap kali, ahli elit politik akan merayu beliau untuk kekal kerana ia adalah "keinginan rakyat".



Indonesia sudah menetapkan pilihan raya presiden diadakan pada 14 Februari 2024.



Diharapkan tidak akan berlaku sebarang krisis politik di negara itu, dengan semua pihak dapat mematuhi peraturan pilihan raya dan juga Perlembagaan Indonesia, setelah Indonesia menikmati kebebasan politik sekarang ini hasil jerih payah dan jalan sukar yang dilalui rakyatnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >