ROME: Penduduk Italy akhirnya bebas berjalan-jalan dan berkunjung saudara-mara mereka buat kali pertama sejak sembilan minggu lalu hari ini (4 Mei).
Ini selepas negara Eropah yang paling teruk terjejas dek Covid-19 itu melonggarkan sekatan penuh yang dilaksana di sana, juga yang paling lama di dunia sejauh ini.
Sekitar empat juta orang - 72 peratus dianggarkan kaum lelaki - akan kembali bekerja di tapak binaan dan kilang sedang negara itu berusaha bangkit semula.
Restoran yang masih bertahan selepas mengharungi krisis paling teruk negara itu pula akan dibuka semula namun pelanggan hanya boleh membeli makanan untuk dibawa pulang.
Namun, bar dan kedai aiskrim akan terus ditutup sementara orang ramai juga harus memakai pelitup di tempat awam yang tertutup selain tidak digalak menggunakan pengangkutan awam.
Seorang penduduk Rome, Encik Stefano Milano, 40 tahun, berkata perasaannya bercampur baur.
"Pastinya kami gembira dapat keluar dengan bebas, saya dapat berjumpa dengan ibu bapa saya dan anak saya boleh meluangkan masa dengan sepupunya.
"Tapi kami juga bimbang kerana ibu bapa kami sudah tua dan bapa mentua saya menghidap barah, jadi beliau berisiko lebih tinggi dijangkiti virus itu," ujarnya. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg