JOHOR BARU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berkemungkinan akan mengambil tindakan disiplin terhadap doktor kontrak di negeri itu jika mereka didapati menyertai mogok yang dijangka berlangsung di seluruh negara pada Isnin.
Pengarah JKNJ Datuk Dr Aman Rabu berkata bagaimanapun tindakan hanya akan dikenakan sekiranya doktor kontrak itu gagal mendengar nasihat yang diberikan kepada mereka agar tidak menyertai mogok itu.
Beliau berkata pengarah hospital di setiap daerah juga dinasihatkan supaya memastikan pegawai mereka hadir untuk menjalankan tugas pada Isnin.
“Perkhidmatan kami berjalan seperti biasa, itu jaminan kami. Jika ia (mogok) berlaku, tindakan akan diambil terhadap mereka yang mengambil bahagian, seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media selepas operasi pemantauan bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, pada Ahad.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Encik Ling Tian Soon.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat sama ada akan berlaku mogok dalam kalangan doktor kontrak di negeri itu pada Isnin.
Sementara itu, Encik Ling berkata kerajaan Johor sentiasa bersedia untuk mendengar aduan dan isu yang dihadapi doktor kontrak negeri dan menyampaikan hasrat mereka kepada KKM, walaupun bukan di bawah bidang kuasa negeri untuk berbuat demikian. - Agensi
Laporan berkaitan:
https://www.beritaharian.sg/dunia/hampir-3400-doktor-kontrak-letak-jawatan
https://www.beritaharian.sg/dunia/khidmat-jagaan-kesihatan-awam-msia-hadapi-krisis