Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Jabatan Negara AS luluskan penjualan bom bijak kepada Saudi

Jan 01, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan di masa depan 3,000 bom bijak kepada Arab Saudi menerusi perjanjian bernilai AS$290 juta ($385 juta), kata Pentagon.



Penjualan itu diluluskan dalam hari-hari terakhir penggal kepimpinan Presiden Donald Trump.



Bakal presiden Joe Biden sebelum ini telah berikrar untuk menghentikan penjualan senjata kepada Arab Saudi, pembeli senjata Amerika paling lumayan dari Timur Tengah.



Ini adalah untuk memberi tekanan ke atas Riyadh supaya menghentikan peperangan di Yaman yang telah menyebabkan krisis kemanusiaan dunia paling buruk dalam sejarah.



Pakej penjualan terkini itu melibatkan 3,000 bom diameter kecil I GBU-39, kotak simpanan, peralatan sokongan, gantian dan sokongan teknikal, kata Pentagon.



"Penjualan yang diusul itu akan mempertingkat keupayaan Arab Saudi untuk berdepan dengan ancaman pada masa ini dan bagi masa depan, dengan menambah stok senjata jarak jauh dan senjata udara ke darat," kata Pentagon.



Tambahnya, saiz dan ketepatan bom itu membenarkan senjata digunakan secara lebih berkesan dan dengan kerosakan sampingan yang berkurang.



Agensi Kerjasama Pertahanan Pentagon memberitahu Kongres mengenai kemungkinan penjualan tersebut awal minggu ini.



Ahli Kongres kurang senang dengan mangsa awam di Yaman dan sebelum ini telah cuba tetapi gagal untuk mengadang penjualan pesawat F-35 kepada Riyadh.



Jika Kongres tidak dapat menghalang penjualan senjata itu, pentadbiran Biden akan berbuat demikian apabila ia mengambil alih pejabat, kata Encik William Hartung, pengarah Program Senjata dan Keselamatan di Pusat bagi Dasar Antarabangsa.



Dalam kenyataannya itu, Encik Hartung berkata adalah amat membimbangkan bahawa pentadbiran Trump sedang cuba memaksa perjanjian penuh kontroversi ini kurang sebulan sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih.



Meskipun Jabatan Negara telah meluluskan penjualan itu, notifikasi itu tidak menunjukkan sama ada kontrak telah ditandatangani atau rundingan telah berakhir.



Pentagon berkata Boeing adalah kontraktor utama bagi senjata. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >