Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Jepun akan tambah perbelanjaan pertahanan demi hadapi ancaman China, Korea Utara

Dec 06, 2021 | 05:30 AM



DALAM menghadapi ancaman dari China dan Korea Utara, Jepun telah menambah perbelanjaan pertahanannya dalam usaha segera mempertingkat pertahanan udara dan maritimnya.



Perbelanjaan tambahan sebanyak 774 bilion yen ($9.3 bilion) itu telah diluluskan pemerintahan Perdana Menteri, Encik Fumio Kishida, baru-baru ini.



Perbelanjaan pertahanan negara matahari terbit itu telah meningkat sejak sedekad lalu, ekoran apa yang dikatakan sebagai ancaman dua negara jiran itu, yang kededuanya mempunyai senjata nuklear, lapor Reuters.



Perbelanjaan pertahanan semasa Jepun adalah 5.3 trilion yen, sebelum tambahan itu.



Walaupun tambahan itu adalah perkara biasa, jumlah 774 bilion yen adalah jumlah terbesar yang pernah diminta, menurut Kementerian Pertahanan Jepun.



Jumlah itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding 430 bilion yen yang diperuntukkan dalam belanjawan tambahan pada fiskal 2019, dan akan termasuk perbelanjaan untuk peluru berpandu dan pesawat peronda, dan mengukuhkan keupayaan pertahanan beberapa pulau kecil di barat daya Jepun, lapor Kyodo.



"Sedang sekitaran keselamatan berdekatan Jepun bertambah buruk dan pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, tugas genting kami adalah mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek," kata kementerian pertahanan.



Tambahan wang tunai itu akan membolehkan Jepun, tiga bulan lebih awal daripada yang dirancang, menaik taraf pelancar peluru berpandu permukaan ke udara di pulau-pulau di pinggir Laut China Timur di samping bateri peluru berpandu Patriot PAC-3 di tempat lain - barisan pertahanan terakhir terhadap sebarang ancaman peluru berpandu Korea Utara.



Tekanan meningkat China terhadap Taiwan turut menyebabkan keresahan di Jepun, kerana penguasaan Beijing ke atas pulau itu akan membawa tentera China dalam lingkungan sekitar 100 kilometer dari wilayahnya dan akan mengancam laluan perdagangan maritim utama yang membekalkan minyak dan barangan lain pada Jepun.



Ia juga akan menyediakan China dengan pangkalan bagi akses tanpa had ke kawasan Pasifik Barat.



Perbelanjaan tambahan itu juga akan membolehkan Jepun lebih cepat memperoleh peluru berpandu antikapal selam, pesawat peronda maritim dan jet kargo tentera.



Perbelanjaan pertahanan tambahan itu dibuat selepas parti pemerintah Encik Kishida pada Oktober lalu menetapkan matlamat untuk menggandakan perbelanjaan pertahanan kepada 2 peratus Hasil Kasar dalam Negeri (GDP), dalam ikrar pilihan rayanya.



Selama beberapa dekad negara itu berpegang pada dasar mengekalkan perbelanjaan pertahanan pada 1 peratus GDP, mengurangkan kebimbangan pihak di dalam dan di luar negara tentang kebangkitan semula sikap pelampau ketenteraan Jepun seperti dilihat semasa Perang Dunia Kedua.



Selain itu, Kementerian Pertahanan Jepun antara lain mahukan wang untuk mendapatkan pejuang terbaru lagi senyap dan peluru berpandu buatan sendiri yang boleh meluncur lebih 1,000 kilometer, sedang negara itu turut membangunkan keupayaannya dalam peperangan siber, angkasa dan elektromagnet.



Mantan perdana menteri Jepun, Encik Shinzo Abe, yang kekal berpengaruh dalam parti pemerintah, berkata baru-baru ini bahawa Jepun harus bekerjasama dengan rakan pakatan keselamatan Aukus - Amerika Syarikat, Britain dan Australia - dalam bidang kecerdasan buatan dan keupayaan siber.



Pakatan Aukus, yang dipersetujui September lalu akan menyaksikan Australia memperoleh teknologi untuk menggunakan kapal selam berkuasa nuklear, dilihat secara meluas sebagai tindak balas terhadap kegiatan ketenteraan China di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan yang penting lagi strategik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >