BERLIN: Pemerintah Jerman memutuskan memberi tambahan tiga bilion euro ($4.30 bilion) untuk negeri-negeri dan bandarnya membantu menangani kemasukan jumlah rekod pelarian dan pendatang tahun, menurut satu kenyataan bersama parti pemerintah yang dikeluarkan pada Isnin (7 Sep).
Pada satu mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung lebih lima jam, pemimpin daripada pemerintah gabungan Canselor Angela Merkel juga bersetuju mengenai beberapa langkah lain, seperti mempercepat prosedur suaka dan memudahkan pembinaan tempat perlindungan suaka.
Pemerintah juga merancang memberi tambahan tiga bilion euro untuk membiayai perbelanjaannya sendiri, seperti membayar faedah untuk pencari suaka, kata kenyataan bersama.
Perjanjian itu termasuk meluaskan senarai negara yang dianggap "selamat', bermakna rakyat mereka umumnya tiada hak suaka, untuk memasukkan Kosovo, Albania dan Montenegro.
Antara negara yang sudah teramsuk dalam kategori itu ialah Serbia, Macedonia dan Bosnia.
Tujuannya ialah mempercepatkan prosedur suaka dan ekstradisi bagi pendatang dari tenggara Eropah, untuk memberi tumpuan pada pelarian dari negara-negara yang dilanda perang, seperti Syria, Iraq dan Afghanistan.
Jerman menjangka kemasukan jumlah rekod 800,000 pendatang dan pelarian tahun ini, paling ramai dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.
Pada Ogos sahaja, lebih 100,000 pemohon suaka didaftar dalam ekonomi terbesar di Eropah itu.