Topic followed successfully
Go to BHkuJohor cadang beli vaksin Covid-19 dari Spura dan China
Johor cadang beli vaksin Covid-19 dari Spura dan China
Johor cadang beli vaksin Covid-19 dari Spura dan China
JOHOR BAHRU: Johor berhasrat mendapatkan sekitar 500,000 dos vaksin Covid-19 dari Singapura atau China, demikian dedah Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.
Beliau berkata negerinya mahu bersikap proaktif dan akan menggunakan hubungan baiknya dengan kededua negara itu untuk mendapatkan dos tambahan, yang dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 orang.
"Pada masa lalu, kededua negara telah bermurah hati menyumbangkan bekalan perubatan seperti peralatan pelindung diri, sanitiser, pelitup dan bahkan ventilator ke negeri ini.
"Jika Singapura, sebagai jiran terdekat kita, mempunyai kuota vaksin Covid-19 tambahan, maka Johor bersedia membelinya selagi vaksin ini diluluskan Agensi Pengawas Farmasi Nasional kita," katanya kelmarin.
Mengenai China pula, kata Datuk Hasni, beliau telah menyampaikan kesediaan Johor membeli vaksin tersebut kepada Menteri Luar Hishammuddin Hussein, untuk membantu mempercepat hal itu.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan KPJ Healthcare untuk membantu kami melakukan vaksinasi apabila dos tambahan tiba," katanya, sambil menambah bahawa penting bagi 80 peratus penduduk negeri itu divaksinasi menjelang Oktober ini untuk mencapai keimunan ramai.
Beliau menarik perhatian bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah berjanji mahu mengirimkan vaksin tambahan ke negeri itu dalam beberapa minggu mendatang, dan ini akan diedarkan ke 36 pusat pemberian vaksin di seluruh negeri.
"Setelah kami mendapat lebih banyak dos, kami berharap dapat meningkatkan usaha vaksinasi kami dengan bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 15 hospital swasta dan 32 klinik swasta di negeri ini.
"Kami berharap dapat memvaksinasi sekurang-kurangnya 20,000 orang setiap hari pada waktu ini," katanya, sambil menggesa lebih banyak orang untuk mendaftar bagi melakukan vaksinasi.
Mengenai Pelan Rangsangan Ekonomi Johor 3.0 yang bakal diumumkan minggu depan, Datuk Hasni berkata ia adalah kesinambungan daripada dua pakej sebelumnya dan tumpuannya bukan hanya untuk memberi bantuan kepada mereka yang terjejas, bahkan meningkatkan pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.
"Kami juga perlu meningkatkan rancangan ujian, penjejakan kontak dan usaha vaksinasi.
"Ini termasuk rancangan mahu mengubah sebuah hospital lama milik KPJ di Kluang menjadi pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dengan 450 katil," tambahnya.
Di bawah pakej rangsangan pertama, kira-kira RM167 juta ($54 juta) dibelanjakan untuk membantu 295,464 penduduk.
Di bawah pakej kedua, RM109 juta dibelanjakan untuk membantu 387,674 penduduk. - The Star.
"Pada masa lalu, kededua negara (Singapura dan China) telah bermurah hati menyumbangkan bekalan perubatan seperti peralatan pelindung diri, sanitiser, pelitup dan bahkan ventilator ke negeri ini. Jika Singapura, sebagai jiran terdekat kita, mempunyai kuota vaksin Covid-19 tambahan, maka Johor bersedia membelinya selagi vaksin ini diluluskan Agensi Pengawas Farmasi Nasional kita." - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

