Topic followed successfully
Go to BHkuJohor usul bolehkan mereka yang divaksin Covid-19 ke S'pura
Johor usul bolehkan mereka yang divaksin Covid-19 ke S'pura
Johor usul bolehkan mereka yang divaksin Covid-19 ke S'pura
JOHOR BARU: Kerajaan negeri Johor akan meminta kerajaan persekutuan agar mengizinkan mereka yang telah menerima dos penuh vaksin Covid-19 untuk berkunjung ke Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata semalam bahawa individu yang telah menerima vaksin itu akan diberi sijil yang menyatakan mereka telah diberi suntikan vaksin.
"Johor akan melakukan yang terbaik untuk memastikan manfaat memberi vaksin itu dapat dicerminkan dalam 'norma baru'.
"Dengan adanya pensijilan bagi individu yang telah diberi vaksin, mereka sepatutnya diberikan beberapa bentuk manfaat yang melibatkan sempadan dalam 'norma baru'.
"Kerajaan negeri akan memberikan cadangan dan saranannya kepada kerajaan Persekutuan tentang beberapa prosedur operasi standard (SOP) tertentu mengenai pembukaan semula sempadan bersama Singapura," katanya.
Datuk Hasni mengatakan demikian sebelum beliau menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi Covid-19 Nasional.
Beliau sebelum ini pernah ditanya sama ada pemerintah negeri akan mencadangkan penggunaan "pasport vaksin" bagi individu untuk berulang-alik antara Johor dengan Singapura.
Datuk Hasni menambah bahawa pembukaan semula sempadan dan inisiatif gelembung perjalanan hijau bersama Singapura patut dipertimbang setelah Program Imunisasi Covid-19 Nasional itu sudah selesai.
Malaysia memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara rasmi Rabu lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi individu pertama di negara itu untuk menerima vaksin tersebut.
Selain Tan Sri Muhyiddin, turut menerima vaksin itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, serta empat lagi kakitangan Kementerian Kesihatan.
Pelaksanaan program tiga fasa yang diawalkan dua hari berbanding jadual asal pada 26 Februari itu bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin berkenaan di bawah fasa pertama yang akan berlangsung hingga April depan.
Fasa kedua program pula bakal bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain golongan kurang upaya.
Fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 bagi kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas. - The Star, Asia News Network, Berita Harian Malaysia.

