JAKARTA: Sedang pilihan raya presiden dan perundangan di Indonesia berlangsung dengan lancar hari ini (17 April), kedua-dua calon presiden bersikap optimis tentang peluang mereka memenangi pilihan raya kali ini.
Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang sedang bersaing mempertahankan jawatannya buat penggal kedua hadir di pusat mengundi di bangunan Lembaga Pentadbiran Negara di Pusat Bandar Jakarta manakala gandingannya, ulama terkenal Dr Ma’ruf Amin, mengundi di Jakarta Utara.
Apabila ditemui media, Encik Jokowi berkata:
“Kami sentiasa bersikap optimis.”
Saingannya, Encik Prabowo Subianto, pula mengundi di Hambalang di Jawa Barat manakala gandingannya, Encik Sandiaga Uno, mengundi di Jakarta Selatan.
Encik Prabowo turut bersikap optimis ketika ditanya media.
“Kami jangkakan (akan menang) dengan keputusan 63 peratus,” ujarnya.
Pegawai pilihan raya sudah mula mengira undi selepas pusat mengundi ditutup pada 1 petang (2 petang waktu Singapura).
Keputusan rasmi hanya akan diumumkan sekitar seminggu kemudian tetapi keputusan tidak rasmi akan diumumkan dalam masa beberapa jam.