JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo semalam menyampaikan rasa sedih beliau susulan tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan utara Bali - setelah diberitahu oleh angkatan tentera laut bahawa kapal selam yang hilang telah ditemui di dasar Laut Bali.
Beliau menyifatkan kesemua kru yang berada di dalam KRI Nanggala 402 itu merupakan pejuang Republik itu.
"Kita, semua bangsa Indonesia, menyampaikan kesedihan yang mendalam atas musibah ini, khususnya kepada seluruh keluarga anak kapal selam.
"Mereka adalah putera-putera terbaik bangsa, patriot terbaik penjaga kedaulatan negara," kata Encik Jokowi.
Encik Jokowi pada masa sama telah menerima laporan terkini dari Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Ketua Angkatan Laut TNI berkenaan usaha pencarian kapal selam itu.
Menurutnya, musibah itu mengejutkan seluruh rakyat Indonesia.
"Musibah ini mengejutkan kita semua, bukan hanya 53 anak kapal, keluarga mereka, mahupun keluarga besar Angkatan Laut TNI, tapi juga seluruh rakyat Indonesia," kata Encik Jokowi.
Kesemua 53 anak kapal KRI Nanggala 402 disahkan telah terkorban semalam.
Perkara itu disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto, dalam sidang media semalam.
Jelasnya, pengumuman itu dibuat selepas beberapa bahagian kapal selam itu ditemui hasil penelitian dasar laut
Kapal KRI Rigel telah melakukan penyiasatan dengan lebih terperinci di lokasi tersebut menggunakan multibeam sonar dan magnetometer telah menghasilkan visual dalam air yang lebih terperinci.
"MV Swift Rescue juga telah menurunkan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) untuk memperkukuh visual bawah air menggunakan kamera," katanya dalam sidang media, merujuk kepada kapal penyelamat kapal selam Singapura yang tiba di Bali awal pagi semalam bagi menyertai operasi pencarian.
Antara yang ditemui termasuk kemudi kipas belakang kapal selam, sauh, bahagian luar badan kapal selam, alat selaman yang terapung serta beberapa bahagian kapal yang lain.
Jelas Hadi, penemuan serpihan itu mengukuhkan lagi nahas yang menimpa kapal selam itu.
"Berdasarkan bukti-bukti kukuh tersebut, dapat dinyatakan bahawa KRI Nanggala 402 telah karam dan semua anak kapalnya telah gugur," katanya.
Selain Singapura, Malaysia, Australia, India dan Amerika Syarikat turut menghantar bantuan.
Ahli keluarga kepada Leftenan Pertama Muhammad Imam Adi, 29 tahun, bapa kepada seorang anak lelaki, masih berharap semua mangsa ditemui.
KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada pukul 4.25 pagi Rabu lepas ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta sebuah lagi kapal selam. - Agensi berita.