Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kajian sedang dijalan lihat perubahan genetik pada penularan virus cacar monyet

Aug 19, 2022 | 05:30 AM



GENEVA: Kajian sedang dilakukan untuk melihat sama ada perubahan genetik pada virus cacar monyet sedang mendorong penularan pesat penyakit itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada AFP.



Dua klad berlainan, atau varian, virus itu dipanggil klad Lembangan Congo (Afrika Tengah) dan klad Afrika Barat, dinamakan sempena dua wilayah yang masing-masing mengalami endemik cacar monyet.



Pada Jumaat lalu, WHO menamakan semula kumpulan itu masing-masing sebagai Klad I dan Klad II, untuk mengelakkan risiko stigmatisasi geografi.



Ia juga mengumumkan bahawa Klad II mempunyai dua subvarian, IIa dan IIb, dengan virus dalam subvarian itu dikenal pasti sebagai punca di sebalik wabak global semasa.



Kelmarin, agensi kesihatan PBB itu menyatakan Klad IIa dan IIb adalah berkaitan dan berkongsi sejarah sama - justeru IIb bukan cabang IIa.



Klad IIb mengandungi virus yang dikumpul pada 1970-an, dan dari 2017 dan seterusnya.



"Melihat melalui genom, sememangnya terdapat beberapa perbezaan genetik antara virus wabak semasa dan virus Klad IIb yang lebih tua," kata WHO kepada AFP.



"Namun, tiada apa yang diketahui tentang kepentingan perubahan genetik ini, dan penyelidikan sedang dijalankan untuk menentukan kesan (jika ada) mutasi ini terhadap penularan dan keseriusan penyakit ini.



"Masih agak awal dalam kedua-dua faktor wabak dan kajian makmal untuk mengetahui sama ada peningkatan jangkitan sekarang didorong oleh perubahan genotip yang dilihat pada virus, atau disebabkan oleh faktor perumah (manusia)."



Juga belum ada maklumat apa kesan sebenar berkaitan mutasi dari segi cara virus itu berinteraksi dengan tindak balas imun manusia.



Lonjakan jangkitan cacar monyet telah dilaporkan sejak awal Mei di luar negara Afrika yang endemik.



WHO mengisytiharkan keadaan sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa pada 23 Julai.



Lebih 35,000 kes di 92 negara, dan 12 kematian, telah dilaporkan kepada WHO.



Hampir semua kes baru dilaporkan dari benua Eropah dan Amerika. Pakar sedang mengkaji sampel daripada kes itu.



Sementara itu, WHO berkata usahanya mahu menamakan semula cacar monyet mungkin mengambil masa "beberapa bulan".



Pertubuhan itu selama berminggu-minggu menyuarakan kebimbangan mengenai nama itu, dengan pakar bimbang nama itu amat mengelirukan.



Cacar monyet diberi namanya kerana virus itu pada asalnya dikenal pasti dalam monyet yang disimpan bagi tujuan penyelidikan di Denmark pada 1958. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >