Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kakitangan akademik California mogok sokong bantahan pro-Palestin

May 29, 2024 | 1:32 PM
Kakitangan akademik yang menganggotai kesatuan sekerja memegang sepanduk ketika melancarkan mogok di Universiti California Los Angeles pada 28 Mei.
Kakitangan akademik yang menganggotai kesatuan sekerja memegang sepanduk ketika melancarkan mogok di Universiti California Los Angeles pada 28 Mei. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Perbalahan akibat serangan ganas pada April ke atas pelajar dan aktivis pro-Palestin yang berkhemah di Universiti California Los Angeles (UCLA), semarak semula pada 28 Mei, apabila kakitangan akademik pula melancarkan mogok di kampus, membantah tindak balas pihak universiti itu terhadap insiden tersebut.

Penyelidik akademik, pembantu pengajar siswazah dan sarjana pascakedoktoran di UCLA yang menganggotai kesatuan sekerja meninggalkan kerja mereka disebabkan apa yang mereka anggap sebagai amalan buruh tidak adil berhubung cara universiti itu menangani bantahan pro-Palestin beberapa minggu kebelakangan ini, kata penganjurnya.

Mereka disertai rakan sekerja akademik di dua kampus Universiti California yang lain – UC Davis berhampiran Sacramento dan UC Santa Cruz, tempat mogok bantahan itu bermula pada 20 Mei.

Mogok itu dianjurkan kesatuan Pekerja Auto Bersatu (UAW) Tempatan 4811 yang mewakili kira-kira 48,000 kakitangan akademik di seluruh 10 kampus Universiti California dan Makmal Kebangsaan Lawrence Berkeley.

UAW tempatan termasuk kira-kira 6,400 pekerja akademik di UCLA, 5,700 di Davis dan kira-kira 2,000 di Santa Cruz.

Seorang wakil kesatuan berkata ‘ribuan’ orang menyertai mogok itu hingga 27 Mei dengan berhenti bekerja, walaupun kurang 200 dilihat menghadiri perhimpunan tengah hari di kampus UCLA.

Mogok kerja semakin meluas menandakan bantahan pertama yang disokong kesatuan sebagai perpaduan dengan gelombang demonstrasi yang diketuai pelajar baru-baru ini di berpuluh-puluh kampus Amerika Syarikat yang menentang serangan tentera Israel di Jaluran Gaza.

Pemimpin kesatuan berkata dorongan utama bagi mogok itu adalah layanan terhadap 210 orang yang ditangkap di kem tempat bantahan perpaduan Palestin yang dirobohkan oleh polis di UCLA pada 2 Mei.

Kira-kira 24 jam sebelum itu, pada malam 30 April hingga 1 Mei, sekumpulan penyerang bertopeng bersenjatakan kayu menyerang perkhemahan itu dan penghuninya, mencetuskan pertempuran berdarah sekurang-kurangnya tiga jam sebelum polis bergerak menghentikan pergaduhan tersebut.

Sejak itu, universiti tersebut telah menukar ketua jabatan polis kampus dan membuka siasatan terhadap tindak balas penguat kuasa undang-undang melibatkan keganasan itu.

Mereka yang melancarkan mogok menuntut pengampunan bagi pelajar possiswazah dan pekerja akademik lain yang ditangkap atau yang berdepan tindakan disiplin kerana pelibatan mereka dalam bantahan itu, yang kata pemimpin kesatuan sekerja dilancarkan secara aman.

Minggu lalu, tiga minggu selepas berlaku huru-hara itu, polis kampus mengumumkan penahanan pertama mereka, seseorang yang dituduh menghasut serangan tersebut – seorang lelaki yang mereka katakan dilihat dalam rakaman video membelasah mangsa dengan batang kayu. – Reuters.

Universiti California sendiri memfailkan aduan amalan buruh tidak adilnya kepada Lembaga Perhubungan Pekerja Awam negeri, tetapi panel itu enggan mengarahkan mogok bantahan kesatuan itu dihentikan.

Sebaliknya, lembaga itu mengarahkan dua pihak itu menyertai rundingan pengantara bagi menyelesaikan pertikaian itu.

Seorang wakil kesatuan berkata dua pihak itu bertemu sekali pada hujung minggu lalu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg