Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Keadaan sukar tapi penting bagi Russia, Ukraine gerak ke arah penyelesaian: Jokowi

Jul 11, 2022 | 05:30 AM



PRESIDEN Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi), menjadi pemimpin Asia pertama yang melawat dua negara berperang - Ukraine dan Russia - dan sebagai pengerusi Kumpulan 20 (G-20), beliau menawarkan mahu menjadi jambatan diplomatik antara mereka untuk menghentikan konflik itu.



Pada masa sama, Encik Jokowi juga berusaha mencari jalan untuk menghuraikan masalah rantaian bekalan makanan dan baja sejagat yang terjejas dek peperangan itu.



Bercakap kepada media selepas bertemu dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, baru-baru ini, Encik Jokowi berkata beliau telah memberi nota daripada Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, kepada pemimpin Russia itu dalam usaha mencari huraian damai.



USAHA DAMAI



Encik Jokowi turut melahirkan kesediaannya membantu memulakan hubungan dua pemimpin itu.



Namun, Encik Jokowi tidak memberi butiran lanjut, dan tidak menyatakan apa yang terkandung dalam nota itu.



"Saya menyatakan kesediaan saya untuk memudahkan dialog antara kededua pemimpin," kata Encik Jokowi selepas perbincangan bersama Encik Putin di Kremlin.



"Walaupun keadaan masih sukar, ia tetap penting untuk bergerak ke arah penyelesaian dan dialog terbuka."



Beliau menambah, negaranya dan juga negara dunia lain mahu "perang berakhir tidak lama lagi".



Sebelumnya, semasa mengunjungi Ukraine dan bertemu Encik Zelensky, Encik Jokowi berkata:



"Walaupun ia sangat sukar untuk dicapai, saya menyatakan pentingnya resolusi damai.



"Saya menawarkan untuk menyampaikan mesej daripada Presiden Zelensky kepada Presiden Putin."



Rundingan damai antara Moscow dengan Kyiv sejauh ini tidak berjalan lancar, dengan setiap pihak saling menyalahkan satu sama lain.



Sebelum ini, Kremlin berkata Ukraine tidak menunjukkan kesediaan mahu meneruskan rundingan damai, tetapi pegawai di Kyiv pula menyalahkan Russia kerana ketiadaan kemajuan.



Rundingan damai bersemuka terakhir yang diketahui adalah pada 29 Mac lalu.



Pegawai dua negara itu berkata hubungan telah diteruskan tanpa bersemuka tetapi kededua pihak berkata perbincangan terus terbantut.



"Rundingan tidak ada kemajuan dan kami perhatikan adanya keengganan perunding Ukraine untuk meneruskan proses ini," ujar jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov.



Penasihat kementerian dalam negeri Ukraine, Encik Anton Gerashchenko, pula menyalahkan Encik Putin atas keadaan tegang sekarang.



"Putin tidak bersedia mengadakan perbincangan," katanya di aplikasi pemesejan Telegram.



"Satu-satunya peluang (bagi keamanan) adalah kemusnahan penjajah Russia.



"Mengenai bila mereka akan bersedia menerima kekalahan, saya fikir ia adalah beberapa bulan lagi."



Presiden Zelensky mengulangi tawaran mahu mengadakan perbincangan langsung dengan Presiden Putin sebelumnya, namun setakat ini tiada kemajuan berkaitan tawaran itu.



BEKALAN MAKANAN



Mengenai rantaian bekalan makanan pula, pemimpin Indonesia itu berkata kekurangan makanan sejak perang di Ukraine bermula Februari lalu telah menjejas ratusan juta orang khususnya di negara membangun.



Lawatannya ke dua negara berperang itu berlaku sedang usaha memulakan semula eksport bijirin dari pelabuhan Laut Hitam terus tersekat ekoran dakwaan adanya sekatan oleh tentera laut Russia.



Russia pula mendakwa eksport bijirin dan bajanya sendiri dihadkan, walaupun Amerika Syarikat telah memberi jaminan kepada pembeli bahawa mereka tidak melanggar sebarang sekatan pihak Barat dengan membuat pembelian itu.



Encik Jokowi berkata beliau beriltizam menangani kenaikan harga makanan dan tenaga serta kekurangan bahan itu sejak pencerobohan Russia.



"Semua usaha mesti dilakukan untuk memastikan Ukraine boleh meneruskan eksport makanan mereka," katanya.



"Saya sangat menghargai Presiden Putin yang berkata sebelum ini bahawa beliau akan memberi jaminan keselamatan buat bekalan makanan dan baja dari Russia dan Ukraine. Ini berita baik.



"Demi kemanusiaan, saya juga menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengintegrasikan semula komoditi makanan dan baja Russia dan komoditi makanan Ukraine untuk memasuki semula rantaian bekalan dunia," tambahnya.



Encik Jokowi merupakan salah seorang enam pemimpin yang dilantik PBB sebagai 'juara' Kumpulan Respons Krisis Global, yang dibentuk untuk menangani ancaman kelaparan dan kemelaratan yang ditimbulkan perang di Ukraine.



Perang di negara Eropah itu telah menyebabkan gangguan besar kepada perdagangan global, dengan harga bijirin, gandum dan minyak mentah melonjak ekoran sekatan pelabuhan laut Ukraine dan sekatan ke atas syarikat Russia.



Encik Jokowi berkata beliau telah menggesa pemimpin Kumpulan Tujuh (G-7) semasa mesyuarat yang dihadirinya di Jerman sebelumnya untuk memastikan sekatan ke atas Russia tidak menjejas bekalan makanan dan baja.



Beberapa penganalisis berkata usaha damai pemimpin Indonesia itu adalah satu peringatan bahawa dua negara itu perlu terus digesa untuk menamatkan perang di meja perundingan.



Ini walaupun, kata mereka, tidak dijangka usaha Encik Jokowi itu akan membawa kepada gencatan senjata, namun inisiatif itu tidak boleh diukur dalam jangka pendek.



Pojok Jakarta Post menulis:



"Pada zahirnya, diplomasi Presiden (Jokowi) tidak menawarkan satu kejayaan, apatah lagi kemajuan, dalam usaha menamatkan perang Russia-Ukraine kerana masalah itu terlalu rumit untuk diatasi oleh seseorang individu dalam masa singkat.



"Tetapi saya percaya Jokowi akan mengejar keamanan walau apa cara sekalipun".




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >