Topic followed successfully
Go to BHkuKelonggaran dikuarantin di rumah disaran bagi warga M'sia yang sudah divaksin di SG
Kelonggaran dikuarantin di rumah disaran bagi warga M'sia yang sudah divaksin di SG
Kelonggaran dikuarantin di rumah disaran bagi warga M'sia yang sudah divaksin di SG
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyertai seruan semakin meningkat agar rakyat Malaysia yang diberi vaksin sepenuhnya di Singapura, dan pulang ke Malaysia, diizinkan dikuarantin di rumah dan bukannya menghabiskan 14 hari di pusat kuarantin yang ditentukan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Koperatif, Pembangunan Keusahawanan dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad, berkata sudah waktunya keputusan itu disemak semula untuk memberi kelonggaran kepada golongan yang diberi vaksin penuh itu.
"Kami telah membincangkannya dalam pertemuan khas dengan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dan berharap kerajaan persekutuan akan mengkaji cadangan kami mengenai perkara ini.
"Kami juga ingin membantu meringankan beban kewangan rakyat Malaysia yang telah diberi vaksin yang ingin pulang," katanya dalam satu wawancara.
Ditanya mengenai petisyen dalam talian oleh rakyat Malaysia di Singapura, yang telah mengumpul lebih 16,800 tandatangan, yang meminta semakan semula mengenai tempoh kuarantin 14 hari itu, Datuk Mohd Izhar mengakui wabak itu telah menimbulkan banyak kesulitan dan kerajaan harus ada belas ihsan dan mendengar cadangan mereka.
"Memberi sedikit kelonggaran atau insentif bagi mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya pasti akan mendorong lebih banyak orang untuk mendapatkan vaksin sepenuhnya," katanya.
Media The Star sebelumnya melaporkan bahawa dengan jumlah tinggi mereka yang telah diberi vaksin Covid-19 di kedua-dua bahagian Tambak Johor, ramai berharap agar Malaysia dan Singapura secara berperingkat mula meredakan sekatan, terutama buat mereka yang diberi vaksin sepenuhnya.
Ribuan rakyat Malaysia di Singapura telah menerima satu atau dua dos vaksin.
Mereka berharap kerajaan Malaysia mengetepikan mandatori kuarantin 14 hari di satu kemudahan khas supaya membolehkan mereka pulang ke rumah untuk meluangkan masa bersama orang tersayang.
Keperluan kuarantin itu telah berkuat kuasa selama lebih satu setengah tahun.
Pada masa ini, seseorang yang pulang ke Malaysia, kemudian kembali ke Singapura, perlu dikuarantin selama 28 hari (14 hari di Malaysia dan 14 hari di Singapura) di kemudahan yang ditentukan.
Kosnya kira-kira RM2,200 ($706) di Malaysia dan $2,200 (RM6,600) di pihak Singapura.
Sebelumnya, Peraturan Ulang-Alik Berkala (PCA) mewajibkan rakyat Malaysia menjalani kuarantin rumah selama tujuh hari sahaja dan menjalani ujian swab.
Namun sejak 13 Mei, Malaysia mengenakan syarat kuarantin 14 hari yang ketat bagi mereka yang masuk dari Singapura setelah Singapura melaporkan penularan virus baru dalam masyarakat.
Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) juga telah digantung. - The Star.

