Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Kerajaan Anwar tunjuk prestasi agak baik setakat ini: Pemerhati

Jan 15, 2023 | 05:30 AM



KERAJAAN perpaduan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menunjukkan prestasi agak baik dalam tempoh hampir dua bulan sejak beliau dilantik menjadi perdana menteri ke-10 negara itu.



Ini khususnya tindakan kerajaannya berkaitan isu kos sara hidup, memerangi rasuah serta amalan memberi tender secara langsung, kata pengamat politik.



Malah, langkah itu dapat dilakukan dengan baik walaupun partinya, Pakatan Harapan (PH), perlu bergabung dengan gabungan parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mempunyai pelbagai agenda berlainan, untuk membentuk satu kerajaan perpaduan - kali pertama dalam sejarah Malaysia.



Datuk Anwar dilantik sebagai perdana menteri Malaysia pada 24 November lalu, dengan anggota jemaah menteri Kabinet pula dibentuk pada 3 Disember.



PRESTASI BAIK



Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, daripada Universiti Sains Malaysia, berkata Datuk Anwar menerajui kerajaan perpaduan dalam keadaan tidak ideal, memandangkan PH tidak memperoleh majoriti yang cukup untuk memerintah sendiri dan terpaksa bergabung dengan blok parti lain.



"Namun, dalam keadaan tidak sempurna ini, prestasi Anwar masih baik.



"Beliau meniup angin segar kepada rakyat yang sedang bergelumang dengan pelbagai ujian dan kepayahan hidup pascapandemik," katanya kepada Berita Harian (BH).



TINDAKAN MENARIK



Felo Kanan Akademi Nusantara NASR, Profesor Azmi Hassan, berkata antara perkara paling menarik pentadbiran Anwar adalah beliau tahu apa yang perlu dilakukan, dan melakukannya secepatnya, selain mahu mengambil tahu isu rakyat.



"Contohnya, isu kos sara hidup, beliau ingin subsidi dikurangkan dan diganti dengan subsidi sasaran.



"Anwar telah segera memanggil semua pihak terlibat dan memberi mereka tempoh masa untuk mencari jalan menanganinya, serta memberinya laporan dalam tempoh tiga minggu.



"Isu ini sebenarnya sudah lama dibincangkan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini tapi tidak dilaksanakan atas apa jua sebab," ujarnya.



Dari segi dasar isu luar negara pula, Datuk Anwar dilihat sangat tegas dalam isu masyarakat Uighur di Xinjiang, China.



Kuala Lumpur sebelum ini tidak memberi komen yang keras kepada Beijing dalam isu tersebut, namun sebaliknya Datuk Anwar telah memberi komen yang keras.



"Satu lagi adalah isu perang Ukraine. Selama ini KL ambil sikap berkecuali tetapi Anwar pula menekankan bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan Russia (menceroboh Ukraine)," tambah Profesor Azmi.



Bagi Profesor Ahmad Fauzi, langkah Datuk Anwar memerangi rasuah adalah memberangsangkan, dan sejajar dengan perjuangannya selama ini dan juga kempen pilihan rayanya yang lalu.



Misalnya, beliau bertindak pantas melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan salah laku penyelewengan dana program pemulihan Covid-19, selain isu perpindahan hak milik Menara KL kepada sebuah syarikat yang tidak dikenali.



"Amalan memberi kontrak kerajaan melalui runding terus juga telah dihentikan.



"Semua ini menunjukkan iltizam Anwar mendepani krisis rasuah yang telah lama membarahi negara. SPRM tidak akan bertindak tanpa lampu hijau daripada Jabatan Perdana Menteri," jelasnya kepada BH.



CABARAN BESAR



Sementara itu, menyentuh cabaran besar yang dihadapi Datuk Anwar, Profesor Ahmad Fauzi berkata Datuk Anwar perlu menyatukan rakyat di bawah satu jenama nasional, bukan saja antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera, malah dalam kalangan Bumiputera sendiri yang majoritinya tidak menyokongnya dalam pilihan raya umum lalu.



"Anwar harus berusaha memenangi mereka ini; dan antara usaha awalnya ialah membuka Seri Perdana bagi program ilmu dan keagamaan setiap minggu.



"Program beramah mesra bersama ulama dan asatizah amat berkesan dalam membuka minda ulama tradisionalis tentang ketokohan Anwar.



"Ini sedang umum mengetahui golongan ini bukanlah penyanjung Anwar, malah ada dalam kalangan mereka dulunya melabel beliau sebagai pluralis agama," ujarnya.



Profesor Azmi pula berkata antara cabaran terbesar Datuk Anwar adalah mengekalkan kerjasama parti-parti berlainan dengan ideologi berbeza dalam kerajaan perpaduannya.



Setakat ini, katanya, tiada pertembungan besar antara Umno dengan DAP (Parti Tindakan Demokratik), dengan kedua-dua parti itu banyak bertolak ansur.



"Namun, cabaran dilihat berkaitan keadaan politik di Borneo, dan khususnya Sabah.



"Kita lihat kemelut politik di Sabah dan ini mungkin boleh menjejas kerajaan Anwar dan juga Perjanjian Malaysia 1963 dan dikhuatiri boleh menjadi duri dalam daging yang boleh menjejas kestabilan kerajaan perpaduan Anwar," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >