KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengecam kerajaan Malaysia yang menurutnya menggunakan agensi kerajaan sebagai alat untuk "membunuh" kredibiliti parti itu serta Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata rakyat sedar tentang "strategi jelek" pentadbiran semasa untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan dan nepotisme.
"Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Bersatu.
"Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera," katanya sambil menambah bahawa pemimpin dan pegawai parti diminta memberikan kerjasama penuh.
Mengulas lanjut, Datuk Hamzah berkata pihaknya yakin rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
"Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.
"Semua ahli Bersatu dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian serta fitnah ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata pembekuan akaun milik parti itu hanya membabitkan akaun di peringkat Pusat.
Beliau berkata akaun bank milik parti di peringkat negeri masih aktif, walaupun pembekuan di peringkat Pusat dikenakan pihak SPRM.
"Setakat ini, kita dimaklumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu di seluruh negara yang akaun bank milik parti di peringkat negeri masih aktif dan tidak terbabit dengan pembekuan.
"Kita juga sudah melakukan semakan, akaun milik Bersatu negeri juga masih aktif," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tindakan pembekuan akaun bank di peringkat Pusat oleh SPRM. - Malaysiakini, BHM.